Penyerahan tajaan itu dan jersi disempurnakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif CNBS, Che Nolia Mat Isa kepada pengurus pasukan, Safari Saffar dalam satu majlis di sini, malam tadi.

Che Nolia ketika ditemui berkata, tajaan julung-julung kali melibatkan jumlah yang besar itu bertujuan untuk mengembalikan kegemilangan bola sepak negeri ini.

Katanya, pihak syarikat yakin pasukan itu mampu pergi jauh dalam kejohanan tersebut sekali gus menaikkan nama negeri ini.

“Seluruh rakyat Perlis mengharapkan pasukan ini dapat melakar nama sebagai juara nanti,” katanya.

Dalam pada itu, Safari berkata, tajaan tersebut telah menyuntik semangat pasukan yang diberi jolokan nama ‘Old School’ itu.

Menurutnya, pasukan itu sudah tiga tahun ditubuhkan, namun pada tahun ini barulah ingin mencuba menyertai Kejohanan Piala Emas Raja-Raja.

“Sebab kita tidak menyertai kejohanan ini (Piala Emas Raja-Raja) sebelum ini adalah kerana tiada dana dan penajaan daripada mana-mana pihak.

“Namun kita yakin gabungan pemain lama yang berpengalaman dalam liga-liga popular seperti Amar Rohidan dan pemain baharu dalam pasukan, kita mampu mencatat kejuaraan pada kejohanan kali ini,” katanya.

Perlis pernah menjuarai Kejohanan Piala Emas Raja-Raja sebanyak tiga kali iaitu pada 2009, 2012 dan 2014. - UTUSAN ONLINE