Menurut Perdana Menteri, pengkomputeran awan membolehkan inovasi sistem penyampaian awam ditingkatkan tanpa memerlukan pelaburan besar terhadap infrastruktur teknologi maklumat (IT) terutamanya pusat data, penyimpanan data dan pelayan komputer.

“Ini membolehkan kerajaan mengatur sumber negara kepada projek-projek yang lebih memberi impak kepada rakyat. Menerusi strategi ini, kerajaan mengambil langkah ke hadapan dalam pelaksanaan transformasi digital,” katanya ketika menyampaikan ucapan penutup selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Pelaksanaan Koridor Raya Multimedia (MSC) Malaysia Ke-29 di Bangunan Perdana Putra di sini hari ini.

Selepas mesyuarat berkenaan, Najib turut menyaksikan majlis pengumuman besar daripada syarikat Switzerland, Mountain Partners yang memperuntukkan AS$100 juta (RM422 juta) untuk pelaburan terhadap syarikat permulaan di Malaysia dan Asia Tenggara.

Selain itu, pengumuman besar juga dibuat daripada syarikat Leonie Hill Capital serta IP Bridge yang akan saling bekerjasama untuk menjadikan Malaysia sebagai hab dalam pembangunan syarikat permulaan yang berasaskan teknologi Internet Benda (IoT), sensor, barangan mudah pakai, pertanian dan makanan.

Yang hadir sama, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Salleh Said Keruak; Pengerusi Malaysia Digital Economy Corporation Sdn. Bhd., Tan Sri Sidek Hassan; Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif IP Bridge, Shigeharu Yoshii; dan Ketua Pelaburan (Sektor Teknologi, Media dan Tele­komunikasi), Leonie Hill Ca­pital, Wee-Meng Thoo.

Menurut Najib, selain penggunaannya dalam sistem penyampaian sektor awam, kerajaan juga akan mengadaptasikan penggunaan perkomputeran awan terhadap kawal selia sektor swasta memandangkan teknologi itu membolehkan transformasi digital terhadap organisasi.

“Dalam kawal selia industri seperti perbankan, kewangan, kesihatan dan telekomunikasi, pengawal selia digalakkan untuk mempercepatkan penerbitan garis panduan yang progresif kepada syarikat-syarikat di sektor ini dengan memanfaatkan perkomputeran awan serta memastikan pematuhan peraturan,” katanya.

Sementara itu, Najib memberi­tahu, Kerangka Kerja Kecerdasan Buatan (AI) Kebangsaan yang akan dibangunkan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) bakal memperluaskan lagi Ke­rangka Kerja Analitik Big Data (BDA) Kebangsaan.

“AI akan menjadi pencetus perubahan yang dapat menambah baik lagi kehidupan rakyat Malaysia,” katanya.

Katanya lagi, kerajaan juga akan mewujudkan Program Pe­mecutan Transformasi Digital (D-TAP) bagi membolehkan syarikat-syarikat besar dan pertengahan yang menyumbang kepada 63.4 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) mengadaptasi transformasi digital

“Bagi mempercepatkan transformasi ini, kita akan melantik Makmal Transformasi Digital untuk menyediakan khidmat run­dingan dan membantu dalam prototaip produk dan perkhidmatan digital baharu. Makmal ini kemudian akan memadankan syarikat yang mengambil bahagian dengan syarikat digital,” katanya.

Beliau memberitahu, pada tahun lalu, MSC Malaysia mela­porkan sebanyak RM16.3 bilion pelaburan baharu diterima oleh negara dan jualan eksport seba­nyak RM19.1 bilion berjaya direkodkan.

“Saya yakin, ekonomi digital negara akan merangkumi 20 pera­tus KDNK pada tahun 2020. De­ngan usaha daripada semua pihak berkepentingan, kita berada da­lam landasan untuk mencapai matlamat sumbangan ekonomi digital sebanyak RM324.9 bilion pada tahun 2020, sebagaimana digariskan Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11),” katanya.

Najib memberitahu, negara mengambil pelbagai inisiatif kukuh untuk memacu ekonomi digital dan satu lagi pencapaian penting negara akan dilancarkan pada 3 November ini iaitu Zon Perdagangan Bebas Digital (DFTZ) yang pertama di luar China.