Ketiga-tiga mereka, Muhammad Danish Syafi Mohd. Azdikirana, 12; Amirul Haziq Mohd. Shamsudin, 11, dan Nur Marissa Maisara Mohd. Azdikirana, 11, adalah dari Sekolah Kebangsaan (SK) Putra, Kangar.

Kejayaan itu sekali gus melayakkan ciptaan tersebut dibawa Unimap untuk menyertai pertandingan inovasi di peringkat antarabangsa iaitu Pertandingan Kreativiti Rekacipta Dunia (WICC) di Korea pada Julai ini.

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan menyampaikan hadiah kepada para pemenang.

Berkenan hadir sama Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Menurut Muhammad Danish Syafi, dia mendapat idea untuk menghasilkan ciptaan itu apabila mengalami masalah untuk memberi makan lapan ekor kucing peliharaannya apabila tiada di rumah.

"Daripada situ, dengan bantuan bapa, saya membuat sebuah kotak makanan yang disambungkan kepada litar kawalan elektrik, alat pengimbas dan panel solar sebagai bekalan tenaganya.

"Apabila kucing kami mendekati alat pengimbas, ia akan mengeluarkan makan secara automatik dalam jumlah ditetapkan. Ia hanya akan mengeluarkan lagi makanan apabila haiwan itu mendekati pengimbas lima minit kemudian.

"Saya dan adik, Nur Marissa Maisara sudah menggunakan alat ini sejak dua tahun lalu dan ia berjaya menyelesaikan masalah kami untuk memberi makan kucing semasa tiada di rumah," katanya ketika ditemui. - UTUSAN ONLINE