Terdetik di hati penulis ketika itu untuk berdoa agar lelaki yang berumur 79 tahun ini kekal diberikan kesihatan yang baik. Sungguh ketika itu penulis tahu ajal maut bukan kuasa manusia, cuma membayangkan segala bakti yang sudah dicurahkan anak seni ini akhirnya penulis akur dia kini pergi juga.

Menguak sisi berbeza mengenai lelaki ini dari sudut pandang penulis yang setengah abad lebih muda daripada beliau adalah penggunaan bahasa filem orang dahulu yang masih kekal mengulit cara bicaranya. Cukup sedap untuk mendengar setiap butir perkataan yang dilontar, ditambah pula dengan personaliti kelembutan seorang lelaki Melayu itu, kini penulis tahu mengapa dia mendapat julukan Hero Filem Melayu Klasik.

Orangnya cukup teliti mengeluarkan jawapan setiap kali ditemu ramah, malah penulis sendiri terpegun waktu pertama kali bertemu dengan Pak Mus kerana sikap hormatnya itu. Mungkin pengalaman penulis ini terlalu sedikit berbanding mereka yang lebih lama mengenalinya secara peribadi tetapi penulis percaya kesempatan untuk mengenali Pak Mus di luar filem lakonannya satu rezeki.

Kurang 16 hari sepatutnya Pak Mus akan menyambut hari lahirnya yang jatuh pada 1 Januari, tetapi kuasa Allah itu melangkaui segala-galanya kini jasadnya sudah selamat disemadikan bersebelahan kubur isterinya Allahyarham Roseyatimah. Sebelum mengahwini Roseyatimah yang juga anak kepada Neng Yatimah, Pak Mus pernah mendirikan rumah tangga dengan pelakon, Suraya Harun dan mereka dikurniakan seorang cahaya mata bernama Suzlynna yang kini berusia 50. Bagaimanapun perkahwinan pertamanya itu hanya bertahan selama tiga tahun sebelum mengahwini Roseyatimah pada tahun 1967. Melalui perkahwinan keduanya ini Pak Mus dikurniakan tiga anak, Azlynna, 45, dan Mohamad Rezainuddin, 38, manakala Mohammed Khairuddin meninggal ketika berusia 3 tahun.

Selain terkenal melalui lakonan, ada sesuatu mengenai Pak Mus yang terus menjadi rujukan sehingga kini. Semenjak kematian isterinya pada tahun 1987 lelaki ini tidak lagi bertemu cinta baharu. Malah kisah dia membesarkan anak-anak yang masih kecil ketika itu terus menjadi inspirasi.

Mungkin kisah cinta Pak Mus dan Roseyatimah tidak terkenal seperti kisah cinta Shah Jahan dan Mumtaz Mahal, bagaimanapun ada sesuatu mengenai kasih sayang dua pelakon hebat ini sehingga dikagumi peminatnya. Antara barangan kepunyaan isterinya yang pernah ditayangkan Pak Mus kepada media adalah ratusan buku resipi masakan yang masih tersimpan rapi puluhan tahun lamanya.

Katanya melalui buku-buku resipi itu juga dia terus mengingati bagaimana kasih sayang isterinya itu dicurahkan melalui masakan. Sungguhpun kedua mereka kini sudah tiada, penulis yakin kisah cinta agung ini akan terus membantu kita untuk mengingati dua nama yang cukup penting dalam mencorakkan filem-filem Melayu pada tahun 1950-an.

Satu yang menarik tentang Mustapha adalah sifat kekeluargaan yang sangat kuat dalam dirinya sendiri.

Menurut anak bongsunya, Rezainuddin, 38, detik berkumpul bersama seluruh ahli keluarga yang akan pasti diingati baik dirinya mahupun adik-beradik yang lain.

“Allahyarham memang sangat pentingkan hubungan kekeluargaan. Biasanya, setiap hujung minggu adalah detik bersama untuk kami berkumpul.

“Kalau dapat berkumpul waktu sarapan, makan tengah hari dan malam bersama-sama, itu yang akan buat dia paling seronok. Itu yang kami adik-beradik tidak akan dapat lupakan,” jelasnya.

Jelas Rezainuddin lagi, arwah ibunya meninggal ketika dia berusia 11 tahun dan ketika itu, Mustapha yang menjadi seorang bapa dan juga ibu.

“Peranannya membesarkan kami itu yang tidak dapat dilupakan. Banyak nilai-nilai kekeluargaan diterapkan kepada kami,” jelasnya.

Tambahnya, dia sendiri tidak sanggup meninggalkan Allahyarham dan masih tinggal bersama walaupun sudah berkahwin dan mempunyai dua anak.

“Saya duduk dengan dia sejak kecil hingga kini dan banyak pesanan yang diberikan. Di akhir usianya, dia banyak berpesan untuk kami adik-beradik supaya rapatkan hubungan antara satu sama lain.

“Selain itu, antara pesanan yang sempat diberitahu ialah ketika kami membersihkan kubur arwah ibu dan dia beritahu saya mahu dikebumikan bersebelahan isterinya,” katanya.

Alhamdulillah, jelas Rezainuddin, mereka berjaya menunaikan hajat Allahyarham untuk dikebumikan bersebelahan arwah ibu.