SALLEH SAID KERUAK
SALLEH SAID KERUAK

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr. Salleh Said Keruak berkata, Ekspresi Negaraku merupakan platform pertama untuk menggerakkan inisiatif Negaraku yang bertunjangkan semangat cintakan Malaysia sempena sambutan Hari Kebangsaan tahun ini.

Inisiatif yang akan dilaksanakan di seluruh negara itu bertujuan menye­marakkan semangat cintakan negara dalam diri rakyat.

“Ekspresi Negaraku diinspirasikan oleh kejayaan dan kemajuan yang kita telah kecapi sebagai sebuah negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Acara itu akan diadakan dari pukul 7 pagi hingga 11 malam bertempat di Dataran Putrajaya, berhadapan Istana Kehakiman, Presint 3.

Ia akan dilancarkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang dijangka melibatkan lebih 10,000 orang peserta.

Pengunjung berpeluang menyertai pelbagai aktiviti seperti Larian Bendera Negaraku dan Senamrobik Negaraku.

Di kawasan itu akan disediakan ‘Zon Kebanggaan dan Kecintaan’ yang akan memaparkan cerita individu-individu yang telah menyumbang kepada negara melalui Kisah-Kisah Kejayaan Negaraku untuk menjadi inspirasi kepada para pengunjung, kata Salleh.

Zon Aspirasi pula menyediakan peluang kepada rakyat Malaysia untuk berkongsi harapan dan aspirasi mereka untuk masa hadapan negara. – BERNAMA