Meskipun tidak dibenarkan masuk ke negara ini dan pintu masuk negara sentiasa dipantau, cili tersebut masih boleh dibeli di pasaran tempatan termasuk Pasar Borong
Kuala Lumpur.

Siasatan wartawan Mingguan Malaysia mendapati penguat kuasa di pintu sempadan menerima habuan daripada pengimport sehingga RM8,000 bagi melepaskan satu kontena cili berkenaan.

Ikuti laporan wartawan Mingguan Malaysia, MOHAMMAD YASIR JAA FAR, HADI AB. MANAP dan MOHAMAD ATHIR ISMAIL berhubung isu tersebut.
 

KUALA LUMPUR 29 Dis.  -  Sebuah syarikat pengimport mendedahkan wujud unsur rasuah dalam kalangan anggota penguat kuasa bagi membenarkan cili dari Vietnam dapat diseludup masuk menerusi pelabuhan utama negara.

Sumber yang merupakan pegawai kanan syarikat berke­naan mendakwa, upah dan habuan diminta adalah seba­nyak RM8,000 bagi setiap kontena yang dilepaskan tanpa perlu diperiksa.

“Walaupun terpaksa membayar caj ‘tutup mata’ itu, syarikat pengimport masih mampu mengaut untu­ng tinggi.

“Malah laporan Utusan Malaysia tempoh hari memang 100 peratus tepat seperti taktik pengisytiharan palsu selain menggunakan negara jiran sekali gus menjadi punca cili diharamkan masih berlambak di pasaran,” katanya ketika ditemui Mingguan Malaysia baru-baru ini.

Pada 22 Ogos lalu, Laporan Khas Utusan Malaysia mendedahkan Malaysia menjadi pusat lambakan hasil pertanian eksport negara luar terutamanya cili merah yang gagal melepasi piawaian negara lain.

Rentetan itu, pelbagai inisiatif diambil Kementerian Pertanian termasuk menggantung permit import cili dari negara berkenaan daripada dibawa masuk ke negara ini berkuat kuasa, 14 September lalu.

Namun, setelah tiga bulan berlalu, Utusan Malaysia mendapati cili berkenaan masih dijual di pasaran sebelum beberapa jabatan dan agensi mengakui wujud masalah penyeludupan bahan komoditi tersebut

Sumber memaklumkan, 70 peratus bahan komoditi pertanian diharamkan itu diseludup masuk melalui la­luan darat di pintu sempadan negara jiran yang ditukar label.

“Sementara itu, 30 peratus pula diseludup masuk melalui pelabuhan atau pintu masuk utama negara.

“Antara sebab saya mendedahkan perkara ini kerana ia tidak adil kepada syarikat pengimport lain dan lebih pen­ting demi kesejahteraan ramai serta melindungi keselamatan makanan negara,” ujarnya.

Ditanya keuntungan hasil penyeludupan, sumber memberitahu, harga cili merah di Vietnam begitu murah iaitu dalam lingkungan RM3.50 ke RM4 sekilogram sebelum pengimport menjualnya pada harga RM6 kepada pemborong besar.

“Selepas itu, pemborong menjual kembali kepada peruncit termasuk pasar raya pada harga RM7.

“Jika RM8,000 (duit rasuah) itu dibahagi kepada 17 tan iaitu muatan bagi satu kontena, kadar rasuah adalah sekadar 47 sen sekilogram. Dianggarkan setiap keuntungan mereka (pengimport) sekitar RM40,000 selepas tolak kos dan duit ra­suah,” jelasnya.