Kemasukan hasil pertanian yang sebelum ini turut disahkan mengandungi sisa racun terla­rang didapati masih dibekalkan ke salah sebuah pasar borong utama yang menjadi pusat agihan sayur-sayuran di negara ini.

Yang membimbangkan, cili berbahaya itu akan diagihkan ke pasar raya termasuk peruncit kecil-kecilan di seluruh negara.

Menurut sumber, keadaan itu disyaki berlaku apabila pintu masuk negara masih bolos gara-gara sikap tamak pengimport yang mengejar keuntungan semata-mata.

Menurut sumber, pengimport dipercayai memanipulasi permit import (IP) yang dikeluarkan Jabatan Pertanian sebelum 14 September lalu.

"Hasil maklumat, seminggu selepas 14 September lalu, memang ada cili merah import dari negara berkenaan yang masuk, tetapi itu menggunakan IP dimohon dan diluluskan sebelum tarikh berkenaan, namun adalah mustahil ada lagi baki IP yang belum digunakan," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Malah jelas sumber, selepas tarikh penggantungan itu pihak Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani menerusi jabatannya terus memperketatkan pemantauan kemasukan saki baki cili selain mengambil sampel dan melakukan analisis ujian Tahap Maksimum Residu (MRL) bagi mengenal pasti kadar sisa racun perosak yang terkandung dalam cili berkenaan.

"Keputusan diperoleh turut menghampakan apabila semua cili ber­kenaan gagal ujian MRL kerana mengandungi racun me­lebihi kadar ditetapkan, sehinggakan kesemua kontena yang terlibat telah dihantar pulang.

"Ini amat berbahaya, tetapi apa yang pelik sekarang berkotak-kotak yang boleh dikatakan bertan-tan cili dari Vietnam masih berada di pasar," ujarnya.

Sehubungan itu, sumber menggesa Kementerian Kesihatan mengambil tindakan sewajarnya supaya menjalankan pemeriksaan di pasar terbabit kerana dikhuatiri akan diedarkan ke pasaran runcit selain pasar raya besar.