Mengikut rekod Jabatan Kese­lamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP), kadar kematian di tapak pembinaan terus mening­kat sejak tahun 2013 sehingga 2017 iaitu daripada 84 kepada 187 kematian.

Malah, sehingga April 2018 juga dilaporkan sebanyak 32 kematian berlaku dengan 62 kemalangan di tapak pembinaan.

Sehubungan itu, Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) mempergiatkan usa­hanya melalui Program Transformasi Industri Pembinaan (CITP) untuk memastikan kadar kematian dalam industri pembinaan dapat dikurangkan sebanyak 50 peratus iaitu daripada 10.94 kematian dalam se­tiap 100,000 pekerja buruh pada 2015 kepada 5.5 kematian menjelang 2020.

Ketua Eksekutifnya, Datuk Ir. Ahmad Asri Abdul Hamid berkata, CITP diperkenalkan bagi mengubah dan menambah baik industri pembinaan sehingga mampu menjadi satu industri yang produktif, selamat dan berkualiti.

“Tumpuan diberikan kepada aspek-aspek keselamatan khususnya dalam memberi latihan berkaitan pengurusan sistem keselamatan kepada kontraktor-kontraktor agar mereka menggunapakai sistem tersebut sepanjang berada di tapak pembinaan.

“Tetapi, melihatkan kadar kematian masih terus meningkat, CIDB menyuntik inisiatif-inisiatif baharu yang dapat membantu merealisasikan hasrat untuk men­capai sasaran pengurangan 50 peratus kadar kematian di tapak pembinaan,” katanya.

Ahmad Asri berkata, antara penambahan usaha itu adalah melaksanakan konsep Pengurusan Reka Bentuk Pembinaan (CDM) yang te­lah digunapakai oleh United Kingdom dan Singa­pura dalam amalan keselamatan dan kesihatan bagi industri pembinaan.

Jelasnya, pendekatan itu terbukti berjaya mengurangkan kadar kematian di kedua-dua negara tersebut.

“Pendekatan CDM amat baik kerana ia memastikan semua pihak yang terlibat dengan projek pembinaan daripada pemaju hartanah, perunding dan kontraktor bertanggungjawab terhadap aspek keselamatan di tapak pembinaan.

“Selama ini, tanggungjawab keselamatan banyak diletakkan di bahu kontraktor serta pegawai keselamatan dan kesihatan sedangkan ia adalah tanggungjawab yang perlu dipikul oleh semua pihak,” jelasnya.

Beliau berkata, JKKP telahpun memperkenalkan Garis Panduan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan dalam Industri Pembinaan (Pengurusan) atau OSCHIM yang selaras dengan CDM. OSCHIM menggariskan tentang tanggungjawab pemaju, kontraktor dan konsultan dalam aspek keselamatan.

Katanya, CIDB kini membantu JKKP bagi mempromosikan OSCHIM kepada syarikat-syarikat pembinaan dan pemaju harta­nah yang terlibat dalam industri pembinaan.

Setakat ini kata beliau, garis panduan tersebut belum diwajibkan dan tentunya usaha dilakukan secara berperingkat supaya syarikat-syarikat pembinaan dan pemaju lebih bersedia apabila ia diwajibkan.

Ahmad Asri berkata, CIDB juga memperkenalkan Sistem Penilaian Keselamatan dan Kesi­hatan dalam Pembinaan (Safety and Health Assessment System in Construction) atau SHASSIC untuk menilai tahap amalan sistem pengurusan keselamatan syarikat di tapak pembinaan.

“SHASSIC menggalakkan semua pihak termasuk pekerja untuk menjadikan aspek kese­lamatan sebagai satu budaya yang harus diterapkan dalam setiap projek pembinaan,” katanya.

Jelasnya, CIDB telah melaksanakan lebih 3,000 lawatan penguatkuasaan tapak pembinaan di seluruh negara dan akan terus mempergiatkan lagi aktiviti penguatkuasaan bagi memastikan tapak pembinaan menerapkan aspek keselamatan setanding negara-negara maju.

Selain itu, beliau berkata, penggunaan Sistem Binaan Industri (IBS) dalam projek-projek pembinaan turut membantu mengurangkan kadar kemala­ngan dan kematian di samping terbukti lebih efisien serta menjimatkan kos.

Oleh itu katanya, kerajaan akan mewajibkan semua pemaju perumahan swasta menggunakan IBS sepenuhnya menje­lang tahun 2020.

“Penggunaan IBS secara tidak langsung menyebabkan banyak kerja berpindah ke kilang kerana komponen bangunan dihasilkan di kilang sekali gus memudahkan syarikat menjaga keselamatan pekerja berbanding di tapak pembinaan,” ujarnya.