Najib berkata, beliau telah membuat permohonan itu kepada China sewaktu lawatannya ke negara itu pada November tahun lalu.

“Atas permintaan saya pada lawatan bulan November yang lalu, China telah pun menambah pembelian minyak sawit dari Malaysia,” katanya melalui sebuah video yang dimuat naik di Facebook Najib Razak hari ini.

Menurut Perdana Menteri, hubungan Malaysia dan China kini berada pada tahap yang terbaik dalam sejarah seperti mana yang dimaklumkan oleh Presiden China, Xi Jinping.

“Saya baru sahaja selesai bertemu dengan Presiden Xi dan Perdana Menterinya, Li Keqiang.

“Presiden Xi berterima kasih di atas sokongan yang kita berikan kepada program Belt and Road malah Presiden Xi menyebut hubungan Malaysia dan China berada pada tahap terbaik dalam sejarah,” ujarnya.

Tambah beliau, sejak lawatan beliau ke China pada tahun lalu beberapa inisiatif telah dijalankan dengan positif antaranya projek Landasan Kereta Api Pantai Timur (ECRL).

“ECRL berjalan dengan lancar di mana mengikut jadualnya projek ini akan dilaksanakan pada Julai nanti,” katanya.

Sementara itu, melalui akaun Facebook juga Najib berkongsi gambar teh di China yang dipanggil Longjing atau Dragon Well Tea yang disifatkan sebagai sangat menyegarkan oleh beliau.