Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, kelonggaran itu diberi selepas virus itu kini tidak lagi menular dan sekatan 90 hari terhadap eksport sarang burung walit ke negara itu hampir berakhir.

"Buat masa ini, Negara China telah melonggarkan sekatan sementara terhadap pengeksportan sarang burung walit yang telah diproses ekoran penularan wabak H5N1 di Kelantan baru-baru ini telah disahkan berakhir.

"Walaupun tempoh sekatan 90 hari belum tamat, tetapi China sudah memberi pelepasan sementara bagi eksport sarang burung walit yang sudah diproses.

"Ini antara langkah awal sebelum pengusaha sarang burung walit mentah mengeskport semula produk mereka ke negara itu selepas sekatan itu berakhir tidak lama lagi," kata Ahmad Shabery selepas pra-pelancaran Kumpulan Keselamatan Nelayan (KUKENAL) dan majlis berbuka puasa bersama nelayan di jeti Kuala Kemaman, di sini hari ini.

China sebelum ini mengeluarkan perintah sekatan sementara terhadap import sarang burung walit dari Malaysia susulan wabak H5N1 yang diisytiharkan di Kelantan pada 15 Mac.

Mengulas mengenai wabak hawar berdarah yang melanda ternakan lembu dan kerbau di beberapa daerah di negeri ini, Ahmad Shabery berkata, Jabatan Veterinar kini telah memvaksin kira-kira 1,700 ternakan bagi membendung wabak itu dari terus menular.

"Penternak juga harus segera melaporkan kepada pihak Jabatan Veterinar jika sekiranya ternakan mereka didapati mempunyai symptom-simptom wabak itu untuk diambil tindakan segera.

"Selain itu, penternak juga wajib melupuskan ternakan mereka yang telah dijangkiti wabak itu mengikut prosedur yang telah ditetapkan kerana jika ia dilakukan secara sambil lewa ia juga menjadi punca wabak itu merebak kepada ternakan yang lain," katanya. - BERNAMA