KUALA LUMPUR 12 Sept. – Ekonomi negara tidak pernah bergantung kepada pelaburan langsung asing (FDI) China, sebaliknya Malaysia juga mempunyai rakan strategik kuat lain seperti Jepun, Korea Selatan, Amerika Syarikat dan negara-negara serantau Asia.
Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai menjelaskan, China tidak pernah menjadi rakan ekonomi atau pelabur nombor satu negara seperti yang didakwa pelbagai pihak.
Walau bagaimanapun jelasnya, pelaburan mereka juga tidak meninggalkan sebarang impak negatif kepada kepentingan negara kerana tujuan mereka hanya untuk menjalankan perniagaan.
“Kita menarik pelabur asing dengan pelbagai inisiatif transformasi ekonomi untuk mereka melabur di negara ini,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan O2O dan Ekspo Peruncitan Asia Pertama di sini, hari ini.
Yang turut hadir ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong.
Beliau diminta mengulas dakwaan pelbagai pihak yang China cuba mendominasi ekonomi negara menerusi pelaburan di Malaysia.
Tiong Lai menambah, dakwaan sedemikian hanya bermotifkan manipulasi politik semata-mata yang cuba memberi tanggapan kononnya Malaysia hanya memberi peluang kepada China.
Beliau menegaskan, Malaysia memberi fokus kepada pembangunan ekonomi negara dan segala pembohongan itu tidak akan menjejaskan usaha kerajaan dalam memacu ekonomi negara ke tahap mapan.
Terdahulu, dalam ucapannya, beliau berkata, kerajaan mahu menjadikan Malaysia sebagai hub logistik yang mampu menyediakan peluang terbuka apabila ASEAN diintegrasikan sebagai satu pasaran terkemuka di rantau ini.
“Antara kelebihan daya saing yang menjadikan Malaysia sebuah hub menarik termasuklah kemudahan infrastruktur bermutu, keadaan geografi, perkembangan pesat industri pembuatan dan perkhidmatan, harga kompetitif dan kecanggihan teknologi maklumat serta komunikasi,” ujarnya.
Menyentuh mengenai perkembangan sama, beliau memberitahu, pengaktifan Laluan Sutera abad ke-21 juga diyakini dapat membantu Malaysia ke arah mencapai status hub logistik terkemuka di rantau Asia.
Dalam mencapai usaha itu, katanya, selain Sumatera, kerajaan berusaha untuk membawa kargo-kargo dari selatan Thailand ke Pelabuhan Klang dan Pulau Pinang.