Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, saranan itu disuarakan beliau dalam pertemuan dengan Setiausaha Politik dan Hal Ehwal Undang-undang Parti Komunis China, Meng Jianzhu semalam.

“Kerajaan China memaklumkan akan membuat sumbangan berjumlah AS$10 juta kepada kerajaan Bangladesh untuk disalurkan kepada etnik Rohingya yang ditempatkan di kem sementara di negara tersebut,” katanya dalam sidang akhbar bersama wartawan Malaysia di sini hari ini.

Sementara itu, beliau yang juga Menteri Dalam Negeri memberitahu, kerajaan Malaysia berminat untuk membeli mesin pengimbas teknologi terkini yang digunakan oleh pihak berkuasa China.

Ahmad Zahid menambah, mesin pengimbas yang berupaya mengesan setiap muatan dalam kenderaan dan kontena itu akan dipasang di pintu-pintu sempadan negara bagi membanteras jenayah rentas sempadan.

Dalam pada itu, beliau berkata, seramai 416 warga China dan Taiwan telah dihantar pulang untuk menjalani hukuman di negara masing-masing ekoran penglibatan mereka dalam sindiket Macau scam.

“Setakat ini, kita telah menghantar pulang 29 warga China yang disyaki pengganas untuk tindakan selanjutnya oleh pihak berkuasa negara berkenaan,” jelasnya.

Lawatan kerja Ahmad Zahid ke China yang bermula Isnin lalu berakhir hari ini dan beliau dijadualkan berlepas pulang ke Malaysia pada pukul 12 tengah hari. - UTUSAN ONLINE