Dia juga menerima Bantuan Orang Tua (BOT) Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM350 serta sumbangan daripada anak saudaranya sebanyak RM200 pada setiap bulan manakala suaminya, Abdullah Jusoh, 64, bekerja sebagai buruh.

Namun walaupun dalam keadaan terhoyong-hayang dan terketar-ketar, Che Munah tetap mahu berniaga bagi menambah pendapatan yang diterima.

che munah
Wakil akhbar Utusan Malaysia /Kosmo turut menyampaikan bantuan makanan sumbangan pembaca kepada warga tua miskin di Kampung Banggol, Pak Esah, Pasir Puteh, Kelantan, hari ini

Dalam mata yang kabur, dia akan berulang alik seminggu dua kali sejauh 40 kilometer ke kaki lima Pasar Besar Pasir Puteh di sini untuk menjual asam keping tersebut.

Che Munah ketika ditemui di rumahnya di Kampung Banggol Pak Esah, dekat sini, hari ini berkata, dia mendapat untung bersih sebanyak RM20 setiap kali berjualan dengan modal RM150.

Menurutnya, dia dihantar oleh suaminya, Abdullah Jusoh, 64, ke pasar berkenaan dan lazimnya menumpang orang ramai untuk pulang ke rumah.

“Bekalan asam gelugur keping itu dibeli oleh suami dalam bungkusan besar di Pasar Jelawat, Bachok yang kemudiannya dibungkus semula dan dijual dengan harga RM5 sepaket.

“Untungnya tidak seberapa. Makcik tidak nafikan terima bantuan JKM dan bantuan RM200 daripada anak bagaimanapun, adakalanya kami kehabisan wang dan terputus bekalan makanan,” katanya.

che munah
Pasangan warga tua miskin bersama bantuan makanan yang disumbangkan orang ramai di Kampung Banggol Pak Esah, Pasir Puteh, Kelantan, hari ini.

Che Munah berkata, wang bantuan itu digunakan untuk membeli makanan dan membayar bil eletrik dan air selain digunakan untuk rawatan sakit tua.

Sementara itu, Abdullah berkata, sebelum ini isterinya tidak pernah meminta ihsan simpati orang ramai kerana sumbangan serta bantuan yang diterima cukup untuk perbelanjaan sebulan.

“Dia meminta belas ihsan seorang pembeli pada ketika itu kerana kami sebenarnya terputus bekalan makanan terutama beras.

“Sepanjang musim hujan ini saya tidak ada sumber pendapatan. Sekadar sebagai buruh binaan rumah dan sekarang peluang untuk bekerja amat berkurangan apabila orang ramai menggunakan tukang rumah warga asing.

“Kami tetap bersyukur kerana masih memiliki rumah tempat berteduh hasil sumbangan pembinaan oleh Majlis Agama Islam Kelantan (Maik) bernilai RM10,000 kira-kira tujuh tahun lalu,” katanya.

Mat Dollah berkata, rumah itu dibina di atas tanah milik arwah mertua isterinya yang terdahulu bersama tujuh orang anak yang masing-masing memilih haluan hidup sendiri.

“Saya bernikah dengan Che Munah sejak lima tahun lalu selepas isteri pertama meninggal dunia. Kini kami tinggal tiga beranak bersama anak bongsu (anak tiri Che Munah), Mohd Rusli, 14, yang bekerja di kilang keropok Kuala Besut,” katanya. - UTUSAN ONLINE