Pegawai Kebajikan Masyarakat Pasir Puteh, Wan Norhayati Wan Husain berkata, sebelum tinggal di daerah ini, Che Munah Che Man, 80, juga menerima bantuan bulanan dari JKM di Pasir Mas.

Menurutnya , hasil lawatan ke warga emas itu hari ini, mendapati Che Munah sudah berkahwin dengan Abdullah Jusoh, 64, sejak lima tahun lalu.

“Selain bantuan JKM, Che Munah juga menerima sumbangan tetap setiap bulan dari anaknya yang berkerja di Pahang.

“Purata pendapatan hasil jualan asam keping RM100 sebulan, dia juga menerima sedekah dari orang ramai ketika menjaja,” katanya di sini hari ini.

Wan Norhayati menambah, suaminya berkerja sebagai buruh binaan dengan purata pendapatan RM350 seminggu dan hanya musim tengkujuh tidak berkerja.

“Mereka tinggal di rumah milik sendiri sejak enam tahun lalu yang mana ia dibina suami yang berkemahiran tanpa mengeluarkan kos upah.

“Ada bilik, ada dapur dan ada bilik air, keadaan rumah tidak terurus kerana mereka tidak selalu berada di rumah.

“Asalnya rumah mereka mempunyai bekalan air bersih yang disalurkan Air Kelantan (AKSB) tetapi telah dipotong bekalan kerana tidak menjelaskan tunggakan, ketika ini mereka menggunakan sumber air rumah anak tiri yang tinggal bersebelahan,” katanya.

Wan Norhayati berkata, pendapatan dan bantuan yang diterima cukup untuk keperluan mereka.

Bagaimanapun, katanya, JKM akan terus membantu termasuk menggerakkan sukarelawan untuk membersihkan rumah dan kawasan persekitaran yang tidak terurus itu.-UTUSAN ONLINE