Menurut Penolong Pengurusnya, Muhammad Zariq Iskandar Ramli, harga istimewa itu hanya ditawarkan kepada pelanggan yang datang dengan pakaian bertemakan Malaysia atau membawa Jalur Gemilang.

"Bagaimanapun, selepas mendapat permintaan kami turut berikan peluang kepada pelanggan lain dengan syarat mereka bergambar bersama Jalur Gemilang terlebih dulu.

"Kami menawarkan hidangan yang biasanya berharga RM5.50 dengan harga yang sangat murah. Sehingga pukul 7 petang tadi sebanyak 200 pinggan telah dijual," katanya, di sini hari ini.

Muhammad Zariq berkata, ini adalah kali pertama tawaran harga makanan murah itu diadakan bagi melahirkan semangat patriotisme dan memeriahkan sambutan Hari Malaysia.

Beliau berkata, pihaknya menyasarkan sebanyak 500 pinggan char kue tiau mampu dijual sehingga tengah malam nanti.

Selain menjamu selera, pelanggan turut dihiburkan dengan lagu-lagu patriotik oleh kumpulan 'Saelunk Buskers'. - UTUSAN ONLINE