FATIMAH SALLEH
FATIMAH SALLEH

Pensyarah Kanan Akademi Pengajian Islam Kontemporari, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Fatimah Salleh berkata, individu Islam yang terlibat mungkin daripada dalam kalangan yang cetek ilmu agama atau mengambil ringan soal hukum agama.

“Tidak dinafikan, ada umat Islam yang terjebak. Mungkin mereka jahil tentang hukum bermain nombor ekor di sisi Islam, lantas melibatkan diri tanpa sedikit pun rasa berdosa.

“Atau mungkin mereka daripada dalam kalangan yang jelas tentang hukumnya tetapi masih terjerumus kera­na dorongan rasa tamak dan nafsu.

“Golongan ini asalnya sekadar mahu mencuba, kemudian bertukar satu ketagihan yang sukar dibuang,” katanya.

Fatimah berkata, walau apa sekalipun, bermain nombor ekor tetap haram di sisi undang-undang Islam. Katanya, seseorang itu perlu menjauhi sebarang aktiviti berkait de­ngan perjudian.

“Hukum tidak menghalalkan cara. Meskipun niat seseorang itu baik, perlakuannya bermain nombor ekor tetap haram dan dosa besar.

“Lebih dikhuatiri apabila si pelaku secara tidak disedari­nya, menduakan Allah SWT apabila terlalu taksub dan mempercayai amalan bermain nombor ekor akan memberi­nya kekayaan,” katanya.

Dalam pada itu, Fatimah menegaskan, tiada cara lain untuk meninggalkan perbuatan terkutuk itu selain kembali kepada ajaran Islam sebenar.

“Si pelaku perlu tanam dalam fikiran bahawasanya bermain nombor ekor atau judi adalah perbuatan dilaknat Allah SWT dan mereka perlu gentar dengan hukumannya jika terjebak.

“Bagi ahli keluarga dan rakan-rakan, mereka perlu bersama mencari jalan dan berusaha untuk menyedarkan si pelaku dengan keprihatinan, nasihat dan doa. Insya-Allah, si pelaku akan sedar dan mampu meninggalkan tabiat itu,” jelasnya.