CEPSI adalah persidangan tenaga dan bekalan elektrik terbesar yang pernah dianjurkan di Malaysia selepas kali terakhir menganjurkannya pada 1996.

Tahun ini merupakan persidangan kali ke-22 sejak diadakan buat pertama kali pada 1976 di Hong Kong.

Membawa tema Reimagining Utility of The Future, persidangan dwitahunan itu dianjurkan oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB) mewakili Persatuan Industri Bekalan Elektrik Asia Timur dan Pasifik Barat (AESIEAP) bermula semalam hingga 22 September ini di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, di sini.

Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad turut menyampaikan ucapan khas, manakala Menteri Tenaga, Teknologi, Sains, Perubahan Iklim dan Alam Sekitar, Yeo Bee Yin menyampaikan ucap tama pada perasmian persidangan tersebut yang dihadiri Pengerusi TNB, Tan Sri Leo Moggie dan Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB yang juga Presiden AESIEAP 2017-2018, Datuk Seri Ir. Azman Mohd.

CEPSI merupakan medan kepada pemimpin-pemimpin industri utama dari seluruh dunia bagi membincangkan isu-isu mengenai industri kuasa seperti cabaran, strategi, kemampanan, teknologi serta masa depan tenaga.

Seramai 17 penceramah berprofil tinggi bakal berkongsi pendapat dan pengetahuan berkaitan isu tenaga dan membincangkan amalan terbaik terhadap isu penting seperti trend dan perubahan global, kemudahan masa depan, kelestarian, inovasi serta masa depan pintar bagi industri bekalan elektrik.

Selain pembentangan kira-kira 550 kertas kerja teknikal, persidangan kali ini turut disertai 100 pempamer dalam kalangan pemain-pemain industri, sekali gus mewujudkan rangkaian bermakna dalam kalangan perwakilan dari lebih 30 negara.