Pengarah Urusan Tenaga dan Utiliti Accenture, Azrin Firdaus Osman berkata, lebih-lebih lagi topik-topik yang diketengahkan Tenaga Nasional Berhad (TNB) selaku penganjur dalam per­sida­ngan itu sangat relevan dan bertepatan dengan kehendak semasa serta keperluan masa hadapan.

“Accenture sebagai sebuah firma perkhidmatan perunding global dalam bidang teknologi maklumat (IT), pelaksanaan teknologi, digital dan operasi sangat berbesar hati dapat menyertai persidangan dwitahunan ini lebih-le­bih lagi apabila Malaysia menjadi tuan rumah.

“Dengan keupayaan yang ada pada TNB, saya harap lebih ba­nyak persida­ngan se­perti ini dapat dianjurkan dengan memberi peluang dan ruang kepada organisasi atau individu berkongsi idea sekali gus dapat membantu memajukan industri bekalan kuasa,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di ruang pameran CEPSI 2018 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini hari ini.

Selain 2,000 orang delegasi, persidangan tersebut yang berlangsung bermula 17 September lalu hingga esok turut dihadiri le­bih 4,000 orang pengunjung yang rata-ratanya terlibat dalam sektor utiliti tenaga.

Bertemakan Reimagining Utility of The Future, CEPSI 2018 membabitkan pembentangan ki­ra-kira 550 kertas kerja teknikal serta penyertaan daripada lebih 100 pempamer bertaraf antarabangsa.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Malaysian Intelligence Meters Sdn. Bhd. (MIM), Shahriman Jaapar berkata, CEPSI 2018 merupakan peluang terbaik untuk syarikat tempatan menonjolkan diri dalam kala­ngan pemain industi.

Sepanjang persidangan itu, kata beliau, syarikatnya yang merupakan pengeluar dan pengilang meter elektronik di Malaysia didatangi pelbagai pihak dari dalam dan luar negara yang me­nunjukkan minat terhadap produk dihasilkan teruta­ma Advanced Metering Infrastructure (AMI) atau meter pintar.

Dalam pada itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Ir. Azman Mohd. meluangkan masa kali kedua untuk melawat ruang pame­ran de­ngan diiringi Ke­tua Pejabat Korporat TNB, Datuk Wira Roslan Ab Rahman.