Bagaimanapun, ‘keistimewa­an’ itu terbongkar selepas seorang Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) dan tiga pegawai kanan di Pengurusan Air Pahang Berhad (Paip) ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini.

Mereka yang berusia antara 40 hingga 59 tahun itu ditahan dalam satu operasi besar-besaran yang dikenali ‘Op Cuci’ yang dilakukan SPRM. Selain kakitangan perbadanan itu, lapan pemilik syarikat yang disyaki bersekongkol dengan pegawai-pegawai terbabit turut dipanggil untuk memberi keterangan bagi membantu siasatan.

Menurut sumber, kegiatan rasuah dan salah guna kuasa oleh CEO dan pegawai-pegawai kanan perbadanan tersebut te­lah bermula sejak 2014 lagi.

Ujarnya, sepanjang tempoh terbabit lapan syarikat yang mana tujuh daripadanya didaftarkan di Pahang manakala satu lagi di Kuala Lumpur dikawal oleh seorang kontraktor telah memonopoli projek-projek di bawah nilai RM50,000.

“Bagi kerja-kerja melebihi RM50,000.00 pula, ia akan di­pecahkan agar jumlahnya boleh dikecilkan dan kemudian dibahagikan kepada dua fasa atau tiga fasa. Ini bertujuan bagi mengelakkan proses sebut harga dan sememangnya me­nyalahi peraturan kewangan yang di­tetapkan.

“Selain itu, CEO terbabit juga mempunyai kuasa untuk memilih syarikat-syarikat bagi kerja-kerja tidak melebihi RM3 juta,” katanya di sini hari ini.

Tambah sumber, siasatan lanjut masih dijalankan SPRM dan kes disiasat di bawah Seksyen 17(a), Seksyen 18 dan Seksyen 23 Akta SPRM 2009 manakala permohonan reman mengikut Seksyen 117 Kanun Acara Jenayah akan buat esok di Mahkamah Majistret Kuantan, Pahang esok.

Dalam pada itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Azam Bin Baki ketika dihubungi mengesahkan mengenai penahanan itu dan bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai perkara itu.