Azril Mohd. Amin Ketua Eksekutif Centhra
Azril Mohd. Amin Ketua Eksekutif Centhra

Ketua Eksekutif Centhra, Azril Mohd. Amin berkata, asas-asas aduan Centhra berhubung nasib etnik Rohingya itu adalah berdasarkan pelanggaran kerajaan Myanmar terhadap perkara-perkara seperti hak asasi manusia, hak asasi kanak-kanak, hak asasi kebebasan agama dan hak asasi kumpulan minoriti.

“Seramai tujuh anggota delegasi yang terdiri daripada felo dan peguam Centhra telah berada di Geneva, Switzerland sejak 28 Februari lalu untuk menghadiri sesi ke-34 Majlis Hak Asasi Manusia PBB di Palais Des Nations, Geneva, Switzerland.

“Selain daripada mengemukakan laporan ber­ke­naan laporan Hak Asasi Ma­nusia Centhra 2016 berdasarkan Semakan Berkala Sejagat (UPR) bagi Malaysia, delegasi tersebut pada kali ini memberikan fokus khas kepada hak asasi manusia etnik Rohingya yang ditindas kerajaan Myanmar,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Azril, walaupun terdapat beberapa resolusi antaranya resolusi 31/24 mengenai situasi hak asasi di Myanmar pada 2016 serta yang terkini resolusi oleh Persidangan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) pada 19 Januari lalu, namun tiada sebarang penyelesaian konkrit daripada masyarakat antarabangsa untuk menghentikan kekejaman Myanmar terhadap etnik Rohingya.

Justeru katanya, Centhra akan terus mendesak institusi antarabangsa seperti PBB untuk memulakan tindakan berkesan bagi menangani pencabulan hak asasi manusia itu.

“Tindakan ini perlu dijalankan lebih-lebih lagi menjelang pembentangan laporan penuh hasil misi Jurulapor Khas Bagi Situasi Hak Asasi di Myanmar, Yanghe Lee dari 9 hingga 20 Januari lalu pada 13 Mac ini.

“Centhra percaya bahawa tekanan berterusan seumpama ini yang menyertai usaha masyarakat sivil sejagat akan memberikan impak terhadap perakuan yang bakal diberikan Lee kepada OHCHR,” katanya.