Perdana Menteri berkata, go­longan seni sebelum ini telah menyuarakan kepada beliau berhubung keadaan industri tersebut yang memerlukan suntikan baharu bagi mendorongnya ber­kembang menjadi komponen penting di Malaysia.

Sehubungan itu, penubuh­an Cendana yang dipimpin oleh penggiat seni sendiri diyakini dapat mengetengahkan isi hati golo­ngan itu sekali gus membawa keberhasilan berimpak besar kepada industri seni budaya Malaysia.

“Pada saya, sektor seni budaya adalah satu komponen berpotensi yang belum kita bangunkan secara optimum.

“Oleh itu, saya ingin mengisytiharkan ekonomi seni budaya sebagai aset baharu negara,” katanya berucap dalam majlis pelancaran Cendana di Bangunan Perdana Putra di sini hari ini.

Yang turut hadir, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr. Salleh Said Keruak dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr. Ali Hamsa.

Cendana yang ditubuhkan kerajaan menerusi MyCreative Ventures adalah berpandukan wawasan untuk membina ekonomi kebudayaan yang pesat berkembang dan penuh inspirasi bagi Malaysia serta boleh dikongsi bersama seluruh rakyat.

Agensi yang dipengerusikan oleh Penasihat Komunikasi kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Farid Ridzuan itu akan menumpukan usaha untuk menyokong pembangunan sektor seni dan budaya dalam industri kreatif serta mempromosikannya kepada khalayak yang lebih luas.

Dalam pada itu, Najib yang juga Menteri Kewangan turut mengumumkan peruntukan awalan sebanyak RM20 juta kepada Cendana dalam usaha memberi sokongan kepada agensi tersebut.

Beliau berkata, seni budaya juga dilihat sebagai satu komponen penting dalam usaha membangunkan sebuah peradab­an dan jati diri bangsa.

“Malaysia sebagai sebuah negara yang kaya dengan budaya perlu membangunkan lebih ba­nyak bakat dan memasarkannya­ sebagai sumber baharu bagi inspirasi jati diri kita yang tinggi dan dijadikan kekuatan serta kebanggaan rakyat,” katanya.

Menurut Najib, beliau meng­anggap komponen seni budaya sebagai komponen terakhir transformasi ke arah melengkapkan negara menjadi sebuah negara maju yang sebenarnya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Cendana, Izan Satrina Mohd. Sallehuddin berkata, sebagai langkah permulaan, agensi itu menumpukan kepada seni persembahan, seni visual dan muzik indie di Lembah Klang dalam ruang kecil, sederhana serta lokasi awam.

“Walaupun seni budaya diiktiraf sebagai aset penting kepada negara, ia masih belum dimanfaatkan sepenuhnya. Salah satu langkah penting yang akan diambil Cendana adalah menilai di mana kedudukan industri seni negara bagi merangka hala tuju untuk masa depan.

“Usaha ini sedang dilaksanakan menerusi Kajian Kebudayaan dan Kreatif Kuala Lumpur dan hasil kajian itu akan diumumkan pada November ini,” katanya.