Presiden Pertubuh­an Jari­ngan Cina Malaysia, Ng Lum Yong berkata, walaupun Malaysia merupakan sebuah negara Islam, namun kerajaan tidak pernah menghalang mana-mana penganut untuk menjalankan ritual agama masing-masing.

“Kalau hendak minum arak, minum sahaja di tempat yang dibenarkan. Kenapa perlu adakan pesta sehingga mengajak orang ramai menyertainya?

“Program ini tidak sesuai diadakan di sebuah negara yang mengamalkan budaya ketimuran. Penganjur kena hormat adat dan budaya negara ini,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, hari ini.

Beliau mengulas penganjuran pesta arak, Better Beer Festival 2017 yang akan menampilkan 250 jenama arak daripada 43 kilang arak di seluruh dunia.

Program yang dijadualkan berlangsung dari 6 sehingga 7 Oktober ini mendapat tentangan daripada pelbagai pihak malah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) juga menolak permohonan permit peng­anjuran pesta berkenaan.

Tambah Lum Yong, pihaknya menyokong usaha Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan DBKL untuk menghalang penganjuran tersebut kerana sekiranya dibiarkan, dikhuatiri pelbagai budaya negatif akan diserap masuk ke negara ini.

Sementara itu, Setiausaha Per­tubuhan Kebajikan dan Amal India Baharu Malaysia (Perinbam), U. Thamotharan me­negaskan, penganjuran pesta tersebut tidak akan membantu mempromosikan negara ini ma­lah akan merosakkan imej Malaysia yang berpegang kepada keamanan.

“Untuk apa pesta ini diadakan? Panggil orang berkumpul untuk minum arak? Ada yang mengeluarkan kenyataan be­ritahu ia dapat mempromosikan negara, kita tidak memerlukan promosi seperti itu.

“Sekiranya benar pihak tersebut mahu mempromosikan negara, ada pelbagai cara lain yang boleh diguna pakai dan bukannya mengadakan sebuah pesta negatif seperti ini,“ katanya.