Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Muhammad Faiz Fadzil Noor berkata, hasil terlibat dengan industri tersebut mampu menjadi sumber pendapatan tambahan dan lumayan.

Muhammad Faiz berkata, mereka tidak perlu lagi terlalu bergantung dengan hasil tangkapan laut kerana keadaan laut serta faktor cuaca yang tidak menentu ketika ini, sebaliknya menjadikan sumber makanan laut sebagai sumber baharu untuk menyara keluarga.

“Golongan nelayan boleh terlibat dengan aktiviti akuakultur atau penternakan selain menghasilkan makanan sejuk beku atau menghasilkan keropok lekor dan otak-otak.

“Mereka boleh menjadikan sumber makanan laut sebagai sumber pendapatan tambahan. Insentif untuk usahawan pertanian disediakan dengan peruntukan RM20 juta dan setiap seorang boleh menerima bantuan antara RM10,000 dan RM20,000,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Majlis Ramah Mesra Pengerusi LKIM Dengan Pemimpin Nelayan Peringkat Negeri Johor di Bandar Baru Kota Puteri, Masai, di sini hari ini.

Yang turut hadir Pengerusi Persatuan Nelayan Kebangsaan (Josfa) negeri, Datuk Mohamad Dolmat dan Pengerusi LKIM negeri, Noslan Setat.

Semalam Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad mahu golongan nelayan dan petani berubah meninggalkan cara hidup lama dengan mengamalkan pendekatan lebih mo­den bagi membolehkan mereka keluar daripada kepompong kemiskinan.

Menurut Dr. Mahathir, pendekatan tersebut perlu memandangkan sejak dahulu lagi golongan tersebut sering kali dikaitkan dengan status kemiskinan dan hidup menderita kerana terlalu banyak bergantung kepada bantuan kerajaan.

Sehubungan itu ka­ta Perdana Menteri, sudah sampai masa­nya mereka be­ra­ni bersaing dan sanggup mengubah cara hidup dengan menceburi bidang baharu se­perti perniagaan dan industri berasaskan hasil produk tempatan yang ada di sekeliling mereka.

Muhammad Faiz berkata, saranan Perdana Menteri itu bukan bermakna kerajaan sudah tidak berminat membantu kelangsungan golongan berke­naan tetapi hanya mahu mereka mempunyai pelan sokongan sumber rezeki pada masa hadapan.