Ketua Pegawai Eksekutif CDC, Shahryn Azmi berkata, sebanyak 14 buah syarikat terkemuka termasuk Prasarana Malaysia Bhd. (Prasarana) dan Tan Chong Motor Holdings, menyertai pesta kerjaya tersebut.

Ujarnya, sambutan yang diterima daripada sektor swasta amat memberangsangkan dan pihaknya menerima banyak pertanyaan daripada syarikat tempatan dan antarabangsa daripada pelbagai industri yang berminat menawarkan peluang kerjaya kepada kakitangan MAS terlibat.

“Pekerjaan dan kerjaya yang ditawarkan termasuk berkaitan dengan penerbangan, pemasaran dan perkhidmatan pelanggan, kejuruteraan dan pekerjaan berkaitan kerja teknikal, logistik dan pe­ngangkutan, serta kewangan dan sumber manusia.

“Kami sedang meneruskan usaha penempatan untuk mengaturkan sehingga empat temuduga bagi setiap individu yang mencari pekerjaan atau ingin menukar kerjaya,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Pesta kerjaya itu turut meneri­ma kunjungan Kelab Penyokong Barisan Nasional (BNBBC) dike­tuai Pengerusinya, Tan Sri Shahrir Abdul Samad yang dalam rangka lawatan ke pejabat CDC dan beliau dilaporkan berpuas hati dengan proses peralihan kerjaya kakita­ngan MAS berkenaan.

Lebih 2,400 kakitangan MAS yang ditamatkan perkhidmatan mereka telah mendaftar dengan CDC sejak ia dibuka pada 1 Jun lalu.

Shahrin sehubungan itu menyeru ka­kitangan MAS yang di­tamatkan perkhidmatan supaya mendaftar dengan CDC bagi membantu mereka me­rancang kerjaya.

“Pasukan kami bersedia untuk memanfaatkan sepenuhnya bakat anda dan menyokong peralihan kerjaya anda, sama ada untuk mencarikan pekerjaan baru, memulakan perniagaan atau merancang persaraan awal. Semua perkhidmatan kami adalah percuma dan kami mahu anda datang ke mana-mana kemudahan kami dan berbincang dengan kami supaya kami boleh membantu anda merancang langkah anda yang selanjutnya,” katanya.