Menurut Tun Dr. Mahathir Mohamad, bayaran pendahuluan itu untuk kerja-kerja yang telah dibuat untuk Fasa 2, Laluan Kembar dan Jaringan Tambahan Utara atau ‘Northern Extension’ di bawah kontrak asal.

Perdana Menteri berkata, bayaran pertama berjumlah RM500 juta akan dibuat dalam tempoh seminggu bermula 12 April lalu, manakala RM500 juta lagi dalam tempoh sebulan bermula tarikh sama.

‘‘Baki pembayaran akan diselesaikan dalam tempoh tiga bulan selepas ditolak tuntutan-tuntuan yang bersangkut-paut dengan kerja-kerja yang telah dihentikan dan digantung, dan pembatalan Jaringan Tambahan Utara (Northern Extension),’’ katanya dalam sidang akhbar khas berkenaan ECRL di Bangunan  Perdana Putra di sini hari ini.

Dalam pada itu, Perdana Men­teri memberitahu, CCCC juga bersetuju untuk mengambil bahagian dalam operasi dan penyelenggaraan ECRL melalui sebuah syarikat usahasama yang akan ditubuhkan dengan pega­ngan 50:50 peratus antara CCCC dan Malaysia Rail Link Sdn. Bhd. (MRLSB).

‘‘CCCC akan memberi sokongan teknikal dan berkongsi risiko operasi setelah siapnya projek ECRL. Kerjasama ini akan me­ringankan beban kewangan Malaysia yang dahulunya terpaksa menanggung beban kewangan keseluruhan operasi dan penyelenggaraan projek tersebut.

‘‘Sehubungan itu, Malaysia akan berpeluang mempelajari daripada kepakaran operasi dan penyelenggaraan CCCC yang sudah tentunya akan meningkat daya maju jangka masa panjang projek tersebut.

‘‘Kami yakin penglibatan CCCC akan menjana pelaburan sepanjang jaringan tersebut, terutamanya dari negara China,’’ katanya.

Perdana Menteri dijadual ke Beijing pada hujung bulan ini bagi menghadiri Persidangan Satu Jalur Satu Jalan (OBOR) selain menandatangani perjanjian projek itu.

Pembinaan ECRL disambung semula selepas Malaysia-China pada Jumaat lalu menandata­ngani perjanjian tambahan (SA) ECRL membabitkan wakil MRL dan CCCC di Beijing.

Wakil Khas Perdana Menteri, Tun Daim Zainuddin berkata, landasan baharu yang bakal dibina itu adalah sepanjang 648 kilometer berbanding ranca­ngan awal 688 kilometer.

Berikutan itu, kos pembinaan Fasa 1 dan 2 ECRL itu dikurangkan kepada RM44 bilion iaitu pengurangan sebanyak RM21.5 bilion daripada kos asal RM65.5 bilion.

Laluan ECRL akan menghubungkan 20 stesen membabitkan Kota Bharu, Kelantan hingga ke Pelabuhan Klang di Selangor.