Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, sebagai permulaan, CATs akan dilaksanakan di 40 sekolah rendah dan menengah di luar bandar yang mempunyai pelajar lemah dalam bahasa Inggeris.

Katanya, langkah tersebut antara strategi kementerian untuk meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan pelajar di negara ini.

“Menerusi kaedah itu, CATs berupaya membimbing para pelajar menerusi pendedahan terbaharu, khususnya pembelajaran secara dalam talian.

“CATs akan dijalankan secara projek perintis terlebih dahulu dan dilaksanakan secara sepenuhnya di sekolah seluruh negara dalam tempoh dua tahun lagi,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Penerangan Strategi Pelaksanaan Bahasa Inggeris Ke Arah Kemenjadian Murid di sini hari ini.

Yang hadir sama, Pengerusi Eksekutif Amanah Pendidikan dan Pembangunan Cambridge Malaysia (CMEDT), Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid dan Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Seri Alias Ahmad.

Menurut Mahdzir, satu jawatankuasa kerja yang dipengerusikan Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Dr. Khair Mohamad Yusof telah ditubuhkan untuk memantau pelaksanaan CATs.

“Kita mahu inisiatif berkenaan mencapai matlamat untuk melihat para pelajar khususnya di luar bandar menguasai bahasa Inggeris atau sekurang-kurang­nya boleh berkomunikasi dalam bahasa tersebut,” katanya.

Mahdzir menjelaskan, pi­haknya telah melaksanakan pelbagai program penguasaan bahasa Inggeris antaranya, Linus 2.0 dan Sistem Set di sekolah di seluruh negara sejak tiga tahun lalu.

“Program-program ini telah membuahkan hasil apabila pencapaian subjek Bahasa Inggeris Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2016 adalah paling terbaik dalam tempoh lima tahun.

“Maka kita berharap pengenalan CATs dapat meningkatkan lagi penguasaan bahasa Ing­geris dalam kalangan pelajar kita menjelang 2020,” ujar beliau.