Pertelingkahan tersebut adalah di antara syarikat perkapalan, JRI Resources Sdn. Bhd. (JRI) dan Kuwait Finance House (M) Bhd. (KFH) yang mana keputusan SAC mengikat keputusan mahkamah sivil.

Prosiding itu amat penting ke­ra­na kuasa kehakiman sekali lagi dipertikaikan walaupun terdapat dua keputusan Mahkamah Persekutuan terdahulu yang menyatakan kuasa kehakiman terletak kepada mahkamah.

Namun demikian, wujud perti­kaian apabila terdapat klausa tertentu dalam Akta Bank Negara Malaysia (BNM) 2009 yang me­nyatakan keputusan SAC mengikat keputusan mahkamah sivil.

Bagi meleraikan pertelingkahan itu, Ketua Hakim Negara, Tan Sri Richard Malanjum mewujudkan panel sembilan hakim yang bersidang buat kali pertama bagi memuktamadkan isu perlembagaan yang ditimbulkan.

Beliau bersidang bersama tiga lagi hakim tertinggi iaitu Presi­den Mahkamah Rayuan, Tan Sri Ahmad Maarop, Hakim Besar Malaya, Tan Sri Zaharah Ibrahim dan Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Datuk David Wong Dak Wah.

Sementara itu, lima lagi hakim terdiri daripada Tan Sri Ramly Ali, Tan Sri Azahar Mohamed, Datuk Alizatul Khair Osman Khairuddin, Datuk Mohd. Zawawi Salleh dan Hakim Mahkamah Rayuan, Tan Sri Idrus Harun.

Ketua Hakim Negara turut mem­benarkan pihak media mera­kam foto bersejarah ketika panel itu bersidang di Mahkamah Persekutuan 1, Istana Kehakiman di sini.

Dalam prosiding itu, peguam Datuk Malik Imtiaz Sarwar mengetuai barisan peguam bela mewakili JRI, Yoong Sin Min pula mewakili KFH, manakala Datuk Dr. Cyrus V. Das mewakili BNM selaku pencelah.

JRI memfailkan permohonan untuk merujuk isu perlembagaan berkaitan persoalan undang-undang melibatkan Seksyen 56, 57 dan 58 Akta BNM yang menyatakan keputusan SAC mengikat keputusan mahkamah sivil.

Permohonan itu difailkan di bawah Perkara 128 Perlembagaan Persekutuan dan Seksyen 84 Akta Mahkamah Kehakiman (CoJA) 1964.

KFH memfailkan tuntutan saman terhadap JRI dan tiga pihak lagi kerana didakwa gagal membuat bayaran kepada KFH berlandaskan kemudahan perbankan Islam dan perjanjian pembelian aset.

Ketika di Mahkamah Tinggi, KFH berjaya mendapat keputusan yang memihak kepadanya. JRI kemudian merayu di Mahkamah Rayuan yang mana Mahkamah Tinggi kemudian diperintah me­ru­juk pertikaian berkaitan perjanjian yang dibuat bagi menentukan sama ada ia mematuhi syariah atau sebaliknya.

Panel bersidang yang mende­ngar penghujahan daripada keti­ga-tiga pihak, kemudian menangguhkan keputusan pada satu ta­­rikh yang akan ditetapkan.