Pengiktirafan itu berdasarkan kepada pencapaian jumlah pemain dan regu terbanyak dalam kejohanan sepak takraw di negara ini.

Timbalan Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Datuk Othman Mohamad menerima anugerah tersebut daripada Ketua Pegawai Eksekutif MBOR, Datuk Michael Tio dalam Majlis Pengiktirafan Penerima Anugerah MBOR 2016 di Bandar Sunway dekat sini malam ini.

Majlis tersebut dirasmikan oleh bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Yang turut hadir, Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk P. Kamalanathan dan pengasas MBOR, Tan Sri Danny Ooi.

Sebanyak 240 regu dan 1,200 pemain menyertai kejohanan kali keenam yang berlangsung di kompleks beli-belah Palm Mall, Seremban, Negeri Sembilan mulai 1 hingga 4 Oktober lalu.

Matlamat utama kejohanan tersebut adalah untuk mencungkil bakat-bakat baharu sepak takraw dan memupuk semangat kesukanan dalam kalangan mereka.

Penerima anugerah lain termasuk Limkokwing University of Crea­tive Technology bagi pencapaian jumlah delegasi negara terbanyak dalam festival kebudayaan, Permodalan Nasional Berhad (PNB) bagi pencapaian penganjuran pameran unit amanah paling lama dan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) untuk pencapaian gerabak kargo terpanjang.

Yang turut menerima anuge­rah ialah pelari solo wanita negara, Suwaibah Mohd. Nasir yang diiktiraf sebagai wanita pertama berlari solo menjelajah Laluan Sutera dan Pengarah Muzik RTM, Datuk Mokhzani Ismail diiktiraf sebagai pemain piano pertama yang membuat persembahan secara langsung di Tembok Besar China.

Antara penerima anugerah pencapaian individu adalah Datuk Halim Othman (rakyat Malaysia pertama menyertai Perlumbaan Udara Red Bull), Mohd. Ikhmil Fawezd Mohd. Hanafi (jarak berenang solo paling jauh), Muhammad Farkhan Mohd. Haron (ahli tinju paling muda memenangi pingat emas Sukan SEA dan Airul Firham Che Amran (rakyat Malaysia pertama memenangi pingat Pertandingan Kemahiran Dunia).

Sementara itu, Abdullah dalam ucapannya berkata, pembinaan Museum of Achievers merupakan tanda pengiktirafan terhadap pencapaian cemerlang semua penerima anugerah MBOR yang telah bekerja keras untuk mengharumkan nama negara.

“Segala usaha dan pencapaian pemegang rekod dalam MBOR seharusnya dikongsi bersama rak­yat,” katanya.