Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, pelaksanaan program berkenaan bukan bermakna kerajaan tiada duit untuk menguruskan negara se­perti yang dicanangkan pembangkang bagi mengelirukan rakyat.

Sebaliknya, kata beliau, kerajaan menggunakan duit berke­naan untuk memberi keberhasilan yang lebih baik.

“Pembangkang membuat pelbagai tohmahan tidak berasas hendak menipu dan mengelirukan rakyat. Kita hendak beritahu rakyat bahawa kerajaan buat ini (NBOS) untuk rakyat. Ini bukan bererti kerajaan tiada duit, ini bererti kita ada duit.

“Kita menggunakan duit itu untuk memberi keberhasilan le­bih baik dan mengoptimumkan perbelanjaan kita,” katanya ketika berucap merasmikan Fiesta NBOS Bersama-sama Rakyat di Kampung Baru Salong di sini hari ini.

Yang turut hadir, Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob; Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Dr. Mohd. Irwan Serigar Abdullah; Pengerusi Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Tan Sri Badruddin Amirul­din dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chini, Datuk Abu Bakar Harun.

Program tersebut antara lain bertujuan memperkenalkan idea-idea NBOS yang dilaksanakan kerajaan kepada masyarakat setempat selain memberi ruang kepada orang ramai mendekati pemimpin.

NBOS hasil ilham Perdana Menteri adalah berdasarkan kepada prinsip-prinsip yang berimpak tinggi, kos rendah dan pelaksa­naan yang pantas bagi membolehkan penyampaian perkhidmatan dengan segera yang memberi manfaat kepada rakyat.

Menurut Najib, NBOS merupakan cabang kedua selepas Dasar Transformasi Nasional yang dapat memecahkan dinding pemisah antara kementerian, jabatan dan agensi kerajaan yang lazim­nya mengamalkan perkhidmatan secara berasingan.

Kata beliau, tiga elemen penting menerusi NBOS adalah hasil atau kesan bersifat menyeluruh, dilaksanakan dengan pantas dan menjimatkan perbelanjaan kerajaan.

Tambah Perdana Menteri, pe­laksanaan NBOS mencatatkan kejayaan luar biasa kerana matlamatnya adalah untuk rakyat.

“Umpamanya dalam NBOS, kita melaksanakan UTC (Pusat Transformasi Bandar) di 20 lokasi termasuk di Kuantan dan saya diberitahu telah ada 51 juta pelanggan menggunakan perkhidmatan ini.

“Apa yang unik, UTC mampu menjimatkan perbelanjaan kerajaan sehingga RM2 bilion kerana kita menghimpunkan semua perkhidmatan di bawah satu bumbung,” katanya.