Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo berkata, kehadiran lebih 300,000 pe­ngunjung dalam acara sambutan kali ini membuktikan semangat cintakan negara dan patriotisme dalam kalangan rakyat Malaysia sangat tinggi.

“Ini merupakan kejayaan besar kita dalam menonjolkan perpaduan rakyat dalam kalangan pelbagai kaum di negara ini.

“Kita tahu betapa sukarnya untuk memperoleh kemerdekaan dan kita juga faham kepayahan untuk membina negara ini,” katanya kepada pemberita selepas Acara Perbarisan dan Perarakan Hari Kebangsaan 2018 di sini, semalam.

Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan itu sebelum ini pernah menjadi tuan rumah untuk sambutan Hari Kebangsaan pada 2003 dan 2005 iaitu pada awal Putrajaya siap dibina.

Selepas 13 tahun, acara yang penuh bersejarah itu kembali semula di Putrajaya sebagai simbolik bagi meraikan kejayaan Pakatan Harapan (PH) mengambil alih pentadbiran kerajaan pada 9 Mei lalu.

Dalam pada itu, Gobind berkata, sambutan tersebut juga menjadi lebih bermakna apabila ia pertama kali diraikan di bawah kerajaan baharu PH.

Mengulas lanjut, katanya, pemilihan Putrajaya sebagai lokasi Hari Kebangsaan untuk tahun ini juga telah memberikan peluang kepada pengunjung untuk datang secara beramai-ramai memandangkan kawasan tersebut mempunyai ruang yang besar dan boleh menampung banyak pengunjung.

Malah, katanya, dengan kawasan yang luas pelbagai acara dan aktiviti juga boleh dilakukan di sini berbanding di lokasi lain.

“Kita dapat lihat kejayaan acara sambutan kali ini apabila diadakan di Dataran Putrajaya. Ramai pengunjung yang hadir dan banyak aktiviti boleh dilakukan kerana mempunyai ruang yang besar.

“Ini merupakan idea yag baik untuk menganjurkan sambutan Hari Kebangsaan di sini biar pun ada pihak yang mahu ia diadakan di Dataran Merdeka,” katanya.