Seorang penoreh, Mat Radzi Karim, 55, berkata, harga getah sekerap yang semakin murah menyebabkan dia tiada pilihan selain daripada melakukan pekerjaan lain termasuk kerja-kerja kampung bagi menyara keluarga.

Katanya, sekali menoreh dia memperoleh 100 kilogram getah sekerap namun dengan nilai RM1.40 sekilogram bagi getah sekerap basah, jumlah yang dite­rimanya hanyalah RM140.

“Sudah tujuh bulan saya berhenti menoreh sebab tidak cukup makan, kalau jual 100 kilogram getah pun baharu dapat RM140, lagi pun bukan selalu boleh dijual sebab bukannya boleh menoreh hari-hari.

“Kawasan Sahom di sini tempatnya selalu hujan dan dalam sebulan nak dapat empat hari menoreh pun susah. Masa harga getah naik beberapa tahun lepas, dapatlah jugak lebih RM1,000 sebulan tapi sekarang nak dapat RM500 ke RM600 pun susah,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Menurut Mat Radzi, kebanyakan penoreh getah di Sahom tidak lagi menoreh sebaliknya mencari kerja lain bagi menampung kehidupan kos sara hidup yang semakin meningkat.

“Jika harga getah naik kepada RM3 sekilogram, boleh kami hidup lagi. Sekarang harga sangat rendah, apa kami nak makan?” katanya.

Bagi Saidi Mohd. Isa, 63, harga getah yang semakin rendah menyebabkan orang kampung yang bergantung hidup sepenuhnya dengan be­kerja sebagai penoreh mengalami kesempitan hidup.

Katanya, lebih menyedihkan lagi bagi mereka yang mengambil upah dengan menoreh pokok getah orang lain kerana hasil jualan getah sekerap itu perlu dibahagi dua dengan pemilik pokok getah tersebut.

“Kami orang kampung, inilah sumber pendapatan kami. Pekebun kecil Risda tidak mengapa jika harga rendah sebab mereka ada terima bantuan.

“Harga getah yang merosot menyebabkan semua penoreh rasa terbeban dan merungut. Harga barang makin meningkat tapi harga getah pula menurun. Bagaimanalah orang kampung mahu menampung belanja mereka,” katanya.

Seorang lagi penoreh, Zaleha Mohd. Radi, 58, berkata, kebanyakan yang menoreh getah adalah orang susah dan dengan harga jualan yang rendah sukar bagi mereka untuk berbelanja.

“Sekarang pun orang sudah tidak mencuri getah lagi sebab tiada harga. Saya sendiri buka kedai untuk menampung hidup. Jika harga getah naik, harga sawit naik, orang kampung memang lega,” katanya.