Bagi mengatasi permasalahan itu, kerajaan Pusat sebelum ini telah melaksakan tiga fasa operasi dikenali sebagai Op Gading bermula 1 Disember 2014 bagi menggempur pekebun degil yang meneroka tanah sewenangwenangnya di Cameron Highlands.

Namun, selepas pilihan raya umum lalu, kerajaan negeri Pahang mengakui kewujudan kebun-kebun haram di Cameron Highlands semakin berleluasa apabila tiada lagi pemantauan serius dibuat berhubung kegiatan tersebut.

Mengulas lanjut isu berkenaan, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Alam Sekitar dan Perladangan negeri, DATUK SERI MOHD. SHARKAR SHAMSUDIN berkongsi pandangan dengan wartawan Utusan Malaysia, MOHAMAD SHOFI MAT ISA.


 

 

UTUSAN: Adakah isu penerokaan haram di Cameron Highlands membimbangkan dan menjejaskan ekosistem di situ?

MOHD. SHARKAR: Jika berlaku penerokaan haram pasti merupakan suatu yang membimbangkan dan jika ada pe­nerokaan pasti juga ekosistem di situ akan terjejas. Namun, saya sebagai Exco bertanggungjawab akan terus memantau perkara itu dalam usaha memastikan ekosistem di Cameron Highlands tidak akan terjejas sebaliknya terus terpelihara. Kita akan mencari jalan terbaik menyelesaikan isu penerokaan haram di Cameron Highlands.

Adakah tanah yang diteroka secara berleluasa dan tarahan bukit yang tidak terkawal menjadi faktor utama kepada kejadian tanah runtuh di kawasan Cameron Highlands selama ini?

Kita perlu faham, aktiviti pertanian di Cameron Highlands bukan punca utama tanah runtuh yang berlaku, ia membabitkan pelbagai perkara antaranya pembinaan rumah di lereng-lereng bukit yang dibuat oleh pekerja asing. Kedua, isu kebersihan yang mana petani di sana perlu menjaga kebersihan de­ngan tidak membuang sampah ke sungai, apa yang berlaku mereka membuang sisa pertanian ke dalam sungai sehingga menyebabkan sungai tersumbat. Apabila sungai tersumbat dan hujan lebat turun, akan menyebabkan saliran tersumbat sekali gus menyumbang kepada tanah runtuh dan banjir lumpur seperti yang berlaku sebelum ini.

Adakah penerokaan haram di Cameron Highlands telah menjejaskan pelancongan di kawasan berkenaan?

Jika dilihat, kawasan pene­rokaan haram di Cameron Highlands itu tidak terlibat dengan pelancongan, cuma jika ada kawasan yang tidak dijaga dengan baik, sungai tidak dalam keada­an baik, airnya busuk pastinya memberikan kesan buruk kepada pelancong yang hadir. Perkara pokoknya, adalah sikap terutama penduduk di Came­ron Highlands sendiri perlu me­ngubah sikap bagi sama-sama menjaga keindahan pusat peranginan tanah tinggi itu.

Pada pandangan Datuk Seri, perlukah Op Gading IV disambung semula?

Op Gading IV perlu disambung semula kerana perdekatan bersepadu yang dilaksanakan melalui operasi ini cukup baik bagi membanteras pene­rokaan haram di Cameron Highlands dan ia telah pun terbukti. Selain itu, operasi itu juga akan memberi tumpuan kepada kerja-kerja pemulihan alam semulajadi sebagai usaha mengembalikan semula keindahan pusat peranginan di tanah tinggi itu. Jadi kita sokong ia diteruskan.

Apakah usaha kerajaan negeri bagi memastikan alam sekitar dan sektor pelancongan di Ca­meron Highlands tidak terjejas?

Kerajaan negeri akan melak­sanakan tindakan sewajarnya dalam usaha memastikan Cameron Highlands bukan sahaja menjadi lokasi pelancongan selamat malah terus menjadi tumpuan pelancong dari dalam dan luar negara. Kita akan terus melakukan pemantauan dan apa diharapkan kerjasama membabitkan semua pihak termasuk daripada kerajaan Pusat bagi melakukan penguatkuasaan dan membenteras kewujudan kebun haram di Cameron Highlands. Semua usaha ini termasuk dalam pelan struktur spatial tanah tinggi negeri Pahang.