Titah baginda, melalui ilmu sahaja yang mampu membersihkan minda umat Islam daripada belenggu kejahilan.

Malah titah baginda, pengetahuan ilmu agama ini juga merupakan di antara tanda-tanda keredaan Allah SWT ke atas hamba yang dipilih-Nya.

“Mencari ilmu agama itu bukanlah satu pilihan bagi individu yang menggelar dirinya sebagai mukmin yang sejati.

“Bak kata Al-Imam Al-Syafie ketika ditanya berkenaan usahanya dalam menuntut ilmu ‘Aku mencari ilmu umpama seorang ibu yang kehilangan anaknya’,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian selepas berkenan merasmikan Simposium Penerima Tauliah Dan Penganugerahan Sijil Tauliah Mengajar Agama Islam Negeri Perlis 2019 di Dewan Warisan di sini hari ini.

Keberangkatan tiba baginda disambut oleh Mufti Perlis, Datuk Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin dan Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs), Dr. Hazman Hassan.

Turut hadir , Setiausaha Kerajaan negeri, Azman Mohd. Yusof, Pengerusi Hal Ehwal Agama Islam negeri, Ruzaini Rais dan Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), Mohd. Nazim Mohd. Noor.

Dalam pada itu, Tuanku Syed Faizuddin Putra berharap agar 32 guru yang menerima tauliah tersebut dapat menjadi tenaga pengajar yang baik dalam menyampaikan ilmu kepada orang ramai. s- UTUSAN ONLINE