Penerbit dan pelawak terkenal tanah air yang juga aktivis sukarelawan terkenal, Datuk Afdlin Shauki berkata, mereka tidak perlu menunggu untuk minta ditaja atau ditanggung perbelanjaan bagi mengikuti misi tersebut tetapi sanggup mengumpulkan duit dan mencari dana bagi membantu mana-mana pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan lain-lain misi sukarelawan untuk pergi menghantar bantuan.

“Ada beberapa rakan saya nak pergi misi pun simpan duit, pasal mereka nak rasa dan lihat sendiri kesusahan mangsa di sana dan bagaimana mereka boleh bantu.

“Ini sebagaimana yang dilakukan oleh kebanyakan pelajar kita di luar negara. Mereka sanggup kumpul duit sendiri untuk pergi membantu misi kemanusiaan seperti di Gaza, Lubnan, sempadan Turki-Syria dan lain-lain tempat yang dilanda konflik,” katanya ketika menjadi tetamu khas dalam Seminar Sukarelawan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di Pusat Latihan Perindustrian dan Pemulihan (PLPP) di Bandar Baru Bangi, dekat sini hari ini.

Seminar tersebut diadakan sempena Sambutan Bulan Kebajikan Negara 2017 yang sedang berlangsung di Pusat Latihan Perindustrian dan Pemulihan (PLPP) Bangi dari 27 September 2017 hingga 1 Oktober ini.

Sementara itu, sukarelawan elit JKM negeri Selangor, Mohd. Tarmizi Abdul Wahab, 42, berkata, seminar tersebut membakar semangatnya untuk terus berbakti secara sukarela kepada masyarakat kerana banyak ilmu yang dapat ditimba dan dipelajari.

“Apatah lagi, kita panggil Datuk Afdlin Shauki sendiri untuk kongsi pengalaman beliau dalam bidang kesukarelawan. Dia benar-benar menjadi sumber inspirasi kepada kami dan lebih mengagumkan beliau sendiri sudi bersama-sama kami dengan mendaftarkan diri pada hari ini untuk jadi Sukarelawan JKM.

“Kita berharap lebih banyak lagi sesi-sesi pengkongsian pengalaman aktivis sukarelawan dapat diadakan kerana ia banyak memberi info, maklumat dan teknik-teknik terkini bagi menjayakan misi,” katanya yang juga merupakan penerima Anugerah Sukarelawan Cemerlang Kebangsaan 2015.