Nur Badriah Shamsuri, 33, berkata, abangnya iaitu Hamuri Shamsuri telah menghilangkan diri sejak sembilan tahun lalu selepas kali terakhir dilihat ketika pulang dari tempat kerja di kilang Fajar Cable di Balakong, Cheras pada 27 September 2008.

Menurutnya, Hamuri yang ketika itu berusia 29 tahun tidak hadir bekerja selama tiga hari sebelum penyelia memaklumkan perkara itu kepada keluarganya.

“Abang kali terakhir dilihat menunggang motosikal Modenas Kriss berwarna merah dengan nombor pendaftaran PED 8395.

“Kami cuba mencarinya di rumah sewa namun dimaklumkan dia tidak pulang ke rumah walaupun barang-barangnya masih ada di rumah terbabit. Sehubungan itu, satu laporan polis telah dibuat namun dia gagal dikesan,” katanya ketika dihubu­ngi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Dalam pada itu, menurut Nur Badriah, ahli keluarga turut me­lakukan pemeriksaan di Jabatan Imigresen serta Jabatan Pendaftaran Negara namun tiada sebarang rekod baharu mengenai Hamuri dikemas kini.

“Oleh itu, saya sekeluarga meminta jasa baik orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai Hamuri, boleh menghubungi kami di talian 011-11911927,” katanya.