Ia inisiatif tiga usahawan agro yang menamakan usaha mereka sebagai 'Cargo Crops'.

Idea itu tercetus apabila Christopher Seow dan dua rakannya menemui seorang petani tua di Cameron Highlands dua tahun lalu yang gigih mengusahakan tanaman sayurannya, namun mendapat pulangan yang sedikit berikutan rantaian peruncitan yang kompleks.

Melalui petani itu, mereka mendapat tahu selok-belok perniagaan tersebut dan mengenal pasti implikasinya terhadap pembekal dan pengguna akhir dan berazam untuk mengusahakan tanaman sayuran organik berkonsepkan mesra alam dan yang mempunyai rangkaian pembekal dan pengguna akhir sahaja tanpa orang tengah.

Menurut Seow, mereka membawa idea 'Cargo Crops' itu ke perhatian Pengerusi Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) Management Datuk Dr Mohamad Satim Diman yang kemudian menyarankan mereka menyertai Pameran Pertanian Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2016.

Bercakap kepada Bernama di tapak pamerannya di MAEPS hari ini, beliau berkata inisiatif berkonsepkan mesra alam itu merupakan tanaman sayuran organik dalam kontena berukuran 12.20 meter (lebar) x 2.44 meter (tinggi), dengan anggaran kos perbelanjaan RM200,000."Di samping membekalkan sayuran organik, Cargo Crops Sdn Bhd turut mewujudkan peluang perniagaan kepada usahawan yang berminat memulakan perniagaan ini.

"Sehingga hari ini (sejak 1 Dis), seramai 370 individu telah memohon dan projek ini akan direalisasikan dalam jangka masa enam bulan lagi," katanya.

Terdahulu, Menteri Kewangan Kedua Datuk Johari Abdul Ghani dan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek merasmikan Cargo Crops dan menyampaikan sijil penyertaan kepada pemohon yang terpilih.

Seow berkata bakal pengusaha Cargo Crops akan diberikan pendedahan dan latihan lanjut di samping membekalkan stok sayuran.

"Kami mengalu-alukan lebih banyak penyertaan daripada individu yang serius dalam perniagaan, di samping menjana pendapatan, ia boleh menggalakkan gaya pemakanan yang sihat," katanya.

Seow berkata perbincangan dengan Kementerian Kewangan turut diadakan bagi membantu dalam menyalurkan geran kepada pengusaha.

MAHA 2016, yang merupakan ekspo pertanian terbesar Malaysia, berlangsung di di MAEPS, dari 1 Dis hingga esok, dengan tema 'Makanan Kita, Masa Depan Kita'. - BERNAMA