Tengku Razaleigh berkata ia berikutan kerajaan Kelantan tidak pernah memberi perhatian serius terhadap tuntutan kaum itu malah membenarkan sebarang aktiviti yang memberi keuntungan kepada pihak lain.

Beliau mendakwa masyarakat Orang Asli Temiar mempunyai hak ke atas tanah adat dan telah lama tinggal di kawasan berkenaan sejak turun-temurun sehingga tindakan kerajaan negeri membenarkan aktiviti pertanian berleluasa sehingga menjejaskan kehidupan masyarakat berkenaan.

"Saya tidak begitu mahir berhubung perundangan itu, tetapi pendapat saya barangkali dengan cara itu boleh menyelesaikan masalah tuntutan tanah adat Orang Asli di Pos Simpor," katanya ketika ditemui pemberita di kediamannya di Bukit Chekati di sini, hari ini.

Terdahulu, beliau mengadakan perjumpaan dengan pemimpin peneroka Rancangan Kemajuan Tanah (RKT) Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar) bagi mendengar keluhan mereka berhubung beberapa masalah yang dihadapi selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu.

Semalam, Jabatan Peguam Negara memfailkan tindakan undang-undang di Mahkamah Tinggi Kota Bharu bagi pihak masyarakat Orang Asli Temiar terhadap kerajaan negeri Kelantan.

Kes saman yang difailkan kerajaan Persekutuan terhadap kerajaan Kelantan dan tujuh lagi itu untuk mendapatkan pengiktirafan hak tanah adat Orang Asli Temiar di Pos Simpor berdekatan Gua Musang, dan sebutannya pada 22 Jan ini.

Mengulas lanjut, Tengku Razaleigh berkata kerajaan negeri sepatutnya telah lama mengambil tindakan sewajarnya bagi menyelesaikan masalah berkenaan sehingga ia menarik perhatian kerajaan Persekutuan.

"Kalau kita hanya menimbangkan kegunaan tanah itu hanya kepada pihak lain sudah tentu ia menimbulkan kemarahan pihak yang berdepan banyak kerugian.

"Kita kena hormat hak kaum itu dan saya melihat tindakan berkenaan satu jalan baik untuk penyelesaian tanah adat Orang Asli yang sekian lama mereka perjuangkan," katanya. - BERNAMA