Adly yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) negeri turut mengakui perkara itu berlaku disebabkan kurangnya pengalaman Ahli Dewan Undangan Ne­geri (ADUN) Pengkalan Batu, Nor­hizam Hassan Baktee.

Menurutnya, niat wakil rak­yat yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Pembangunan Usahawan dan Industri Asas Tani negeri itu adalah untuk menyelesaikan masalah dihadapi penduduk taman dan kampung berhampiran namun kaedah komunikasinya tidak sesuai.

“Justeru, kerajaan negeri mo­­hon maaf. Mungkin ada ke­kurangan yang menyebabkan perkara seperti itu boleh berlaku.

“Kerajaan negeri melalui perbincangan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) juga sudah sarankan penambahbaikan kepada beliau terutama da­lam aspek komunikasi pada masa akan datang,” katanya da­lam sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Exco kerajaan negeri di sini hari ini.

Sementara itu, Adly berkata, kerajaan negeri akan membuka semula perbincangan antara penduduk taman, orang kampung dan pihak berkuasa tempatan (PBT) berhubung permasalahan jalan raya di Taman Akasia,

“Isu tersebut seharusnya di­selesaikan di peringkat PBT dan tidak perlu melibatkan Exco mahupun ADUN kerana ini adalah isu membabitkan penduduk taman dan orang kampung,” tambah beliau.

Dalam pada itu, beliau berkata, kerajaan negeri akan memperkenalkan Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ke­telusan Melaka (Melcat) dalam masa terdekat yang dilihat berupaya meningkatkan kompetensi dalam kalangan ahli Exco kerajaan negeri, wakil rakyat serta penjawat awam di negeri ini.