Ketika ini, institusi tersebut mencatatkan nilai kebolehpasaran graduannya sebanyak 98.7 peratus dan semenjak ditubuhkan pada 1997, PSA sudah melahirkan seramai 34,772 graduan.

Pengarah PSA, Tajuddin Abdul Rashid berkata, pencapaian itu adalah sesuatu yang membanggakan kerana ia merupakan peratusan tertinggi bukan sahaja dalam kalangan politeknik tetapi juga melebihi universiti awam mahupun swasta.

“Ini menunjukkan produk politeknik, khususnya graduan PSA adalah berkualiti serta relevan dengan industri,” katanya ketika berucap pada Konvokesyen Ke-20 politeknik berkenaan di sini, hari ini.

Majlis tersebut dirasmi dan disempurnakan Timbalan Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Datuk Othman Mohamad.

Pada konvokesyen kali ini, se­ramai 888 graduan terdiri daripada lulusan ijazah, diploma dan sijil membabitkan Jabatan Kejuruteraan Awam; Jabatan Kejuruteraan Elektrik; Jabatan Kejuruteraan Mekanikal dan Jabatan Perdagangan berjaya menamatkan pengajian.

Sementara itu, Othman dalam ucapannya berkata, pihak poli­teknik dan para graduan perlu mempersiapkan diri untuk me­nem­puh cabaran masa depan de­ngan mengambil kira perkembangan terbaharu teknologi masa kini dalam Revolusi Industri 4.0.

“Saya percaya pihak PSA telah menyusun berbagai aktiviti yang boleh menjadikan para pelajar sebagai individu berilmu dan juga selaku warganegara yang bertanggungjawab, selain memenuhi ke­perluan sektor awam dan swasta

“Bagi tujuan ini, pihak poli­teknik harus mengambil langkah positif untuk sentiasa menyemak dan menambah baik kurikulum yang digunakan agar sejajar de­ngan keperluan serta perkemba­ngan industri masa kini,” katanya.