Nur Syuhada - SL1M trainee
Nur Syuhada

Walau bagaimanapun laluan kerjaya pemegang Ijazah Sarjana Muda Pengajian Syariah dan Undang-Undang dari Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) itu tidak semudah graduan-graduan yang lain.

Selepas menamatkan pengaji­an pada 2015, pelbagai pekerjaan terpaksa dilakukan oleh Nur Syuhada termasuk menjadi eksekutif jualan produk, berniaga secara dalam talian, menerima tempahan membuat pelamin dan membantu perniagaan keluarganya di Alor Setar, Kedah.

“Saya hampir berputus asa untuk mengejar cita-cita sebagai peguam apabila permohonan demi permohonan untuk mencari pekerjaan tidak dilayan oleh firma guaman.

“Selepas diberitahu rakan me­nge­nai Program Khazanah Nasional SL1M-GREEN, saya nekad untuk mencuba dan alhamdulillah saya terpilih menyertai program itu.

“Lebih bermakna Program Khaza­nah Nasional SL1M-Green lagi apabila saya diserap menjadi kakitangan di firma guaman di tempat saya menjalani latihan SL1M,” katanya.

Nur Syuhada kini merupakan salah seorang daripada 17 peguam syarie di firma guaman Tetuan Shazril Khairy Mustafa & Associates yang terletak di Wisma Unikeb, Universiti Kebangsaan Malaysia, Sela­ngor.

Pengalaman selama tujuh bulan mengikuti program itu katanya begitu bermakna terutama dalam keberkesanan modul latihan yang berjaya menjadikan dirinya seorang yang lebih berkeyakinan diri, meningkatkan komunikasi, menyesuaikan dan mengadaptasi alam pekerjaan.

“Sebelum ditempatkan di firma guaman berkenaan, saya dihantar menjalani kursus pembangunan diri selama sebulan yang dikendalikan oleh agensi latihan yang dilantik oleh Khazanah Nasional Berhad.

“Walaupun tempohnya singkat, latihan yang disediakan sa­ngat berkesan sebagai persedia­an sebelum melangkah ke alam pekerjaan di syarikat pengendali SL1M,” ujarnya.

Semasa mengikuti program SL1M di firma guaman berkenaan katanya, dia bukan sahaja mendapat tunjuk ajar daripada rakan-rakan sekerja yang lebih berpenga­laman bahkan dilayan seperti seorang kakitangan.

“Walaupun hanya sebagai pe­latih, saya dan dua lagi rakan yang ditempatkan di syarikat itu langsung tidak merasakan maji­kan me­layan kami sebagai pelatih.

“Selain tunjuk ajar yang berte­rusan, kami juga dipantau oleh peguam senior melalui sistem mentor.

“Saya juga bersyukur kerana pengalaman menjalani latihan dalam kamar (chambering) sebe­lum menamatkan pengajian mem­beri banyak kelebihan untuk membiasakan diri dengan tugas yang diberikan,” tambahnya.

Katanya, antara pengalaman dan tugas yang diberikan sepanjang latihan itu adalah penyedia­an dokumen untuk perbicaraan di mahkamah, teknik komunikasi berkesan untuk menguruskan anak guam dan ketika berdepan dengan hakim dan majistret.

Menceritakan peluang dalam profesyen guaman syarie, Syuha­da yakin bidang itu menjanjikan potensi yang baik walaupun mempunyai cabaran tersendiri berbanding undang-undang sivil.

Sementara itu katanya, minat mendalam terhadap bidang undang-undang kini diteruskan de­ngan melanjutkan pengajian dalam Diploma Pascasiswazah Pentadbiran Kehakiman dan Guaman Islam di UKM.

“Saya kini berada dalam semester kedua pengajian dan insyallah akan menamatkan pengajian pada pertengahan tahun depan,” ujar anak pertama daripada empat beradik itu.