Itu gambaran terhadap pakej lengkap Najah Afiqah Rose Aza,18, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Derma di sini, yang dinobatkan sebagai pelajar terbaik Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) peringkat negeri ini selepas memperolehi keputusan 9A+.

Dia yang tersenyum kegembiraan ketika ditemui wartawan selepas pengumuman keputusan SPM di Sekolah Menengah (SM) Sains Tuanku Syed Putra di sini melahirkan rasa syukur dengan pencapaian tersebut sekali gus membuka laluan untuk gadis itu merealisasikan cita-cita menjadi seorang doktor perubatan pada masa hadapan.

Anak kedua daripada tiga beradik pasangan guru itu berkata, dia memberi fokus semasa di dalam kelas selain bangun seawal pukul 4.30 pagi setiap hari untuk mengulang kaji pelajaran.

Katanya, kejayaan itu juga adalah kerana dia sentiasa menjaga hubungan dengan Allah SWT dengan melakukan solat sunat.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada ayah dan ibu selain guru-guru serta kawan-kawan yang banyak membantu serta memberikan sokongan,” katanya.

Sementara itu, SMK Derma terus mencatatkan keputusan terbaik dengan seramai 18 orang calonnya memperolehi semua A dalam SPM 2018.

Malah sekolah tersebut juga mengekalkan pencapaian 100 peratus calon layak mendapat sijil selain mencapai Gred Purata Nasional (GPN) 2.46.- UTUSAN ONLINE