Pelantikan Seri Paduka juga sekali gus menggambarkan institusi pengajian tinggi tersebut menjunjung tinggi kelangsungan Kesultanan Melayu sebagai teras utama politik negara menerusi konsep raja berperlembagaan dan demokrasi berparlimen.

Itu merupakan pandangan Ketua Penerangan Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Nasrul Ali Hasan Abdul Latif yang turut berkeyakinan Al-Sultan Abdullah mampu menerajui UiTM di samping terus memperkasa institusi pengajian tinggi tersebut.

Katanya, Sultan Abdullah juga disifatkan sebagai seorang raja yang ‘telah jauh berjalan dan luas pengalaman’ kerana menerima pelbagai disiplin pendidikan sama ada dari dalam mahu pun luar negara.

“Presiden Perkasa, Datuk Dr. Ibrahim Ali bersama semua warga Perkasa mengambil kesempatan mempersembahkan ucapan tahniah dan syukur atas pemasyhuran Seri Paduka sebagai Canselor UiTM yang merupakan satu-satunya universiti khusus melahirkan graduan bumiputera.

“Yang di-Pertuan Agong melambangkan kekuatan dan keutuhan orang Melayu. Al-Sultan Abdullah pasti dapat memperkasakan institusi ini dalam menjaga kepentingan golongan bumiputera agar terus unggul dalam semua bidang profesional bertaraf dunia,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini. - UTUSAN ONLINE