Naib Canselor UUM, Prof. Datuk Seri Dr. Mohamed Mustafa Ishak berkata, istiadat itu akan dilakukan pada hari pertama majlis konvokesyen yang akan berakhir 22 November ini.

“Majlis konvokesyen UUM akan diadakan di Dewan Mu’adzam Shah. Untuk tahun, ini pihak universiti amat berasa bertuah kerana pada hari pertama majlis akan diadakan istiadat pemasyhuran baginda Sultan Kedah sebagai Canselor yang baharu.

“Tunku Sallehuddin Sultan Badlishah akan menggantikan Almarhum Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah iaitu Canselor UUM yang pertama,” ujarnya dalam sidang akhbar majlis ber­kenaan di sini hari ini.

Sebanyak 5,935 graduan UUM bakal menerima ijazah masing-masing pada konvokesyen kali ini.

Daripada jumlah itu, 499 gra­duan merupakan pelajar asing dari 30 buah negara manakala 571 graduan menerima ijazah kelas pertama.

Mohamed Mustafa turut menjelaskan bahawa pihaknya akan mengurniakan Ijazah Kehormat Doktor Falsafah kepada dua tokoh yang dilihat banyak memberi sumbangan kepada masyarakat.

“Mereka ialah Pengarah Urusan Epic Valley Holding Sdn. Bhd., Tan Sri Dr. Fng Ah Seng yang akan menerima Ijazah Kehormat Doktor Falsafah Tanggungjawab Sosial Korporat.

“Seorang lagi tokoh akan dikurniakan Ijazah Kehormat Doktor Falsafah Seni Kulinari iaitu cef selebriti terkenal, Datuk Prof. Redzuawan Ismail atau Cef Wan,” ujarnya.