S. Subramaniam
S. Subramaniam

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. S. Subramaniam berkata, ini bermakna orang ramai yang menjalani rawatan pergigian di klinik-klinik kesihatan terus menikmati caj rendah pada kadar subsidi amat tinggi yang dibiayai kerajaan.

Katanya, pesakit hanya perlu membayar RM2 untuk penggilapan gigi dan tampalan serta RM1 untuk rawatan mencabut gigi.

“Dakwaan tersebar seperti di media sosial yang mengatakan caj rawatan pergigian untuk kelas tiga dan pesakit luar di klinik kesihatan telah meningkat adalah tidak benar sama sekali.

“Kerajaan sentiasa komited kepada rakyat dalam memberi penjagaan kesihatan yang bermutu tinggi pada kadar yang berpatutan khususnya golongan miskin dan berpendapatan rendah,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Subramaniam memberitahu, semakan caj pergigian dalam Perintah Fi (Perubatan) Pindaan 2017 adalah hanya melibatkan pengurangan subsidi bagi pesakit kelas satu dan dua.

“Sebaliknya bagi golongan miskin dan berpendapatan rendah, mereka dikenakan caj lebih rendah daripada jumlah asal.

“Seperti jumlah yang tercatat pada resit bayaran di hospital kerajaan, orang ramai tidak perlu bayar kadar sebenar tetapi pada nilai lebih rendah atau percuma,” katanya.

Beliau menjelaskan, kerajaan perlu membiayai subsidi yang tinggi ekoran peningkatan kos rawatan dan ubat pada setiap tahun.

Sementara itu, Subramaniam memaklumkan, Kementerian Kesihatan bakal memperkenalkan projek perintis suntikan mikroorganisme wolbachia ke dalam telur nyamuk aedes bagi menghalang penularan virus denggi kepada manusia.

Katanya, buat permulaan, pihaknya melaksanakan projek perintis tersebut di salah satu kawasan di Selangor dalam masa terdekat.

Mengenai 11 kes jangkitan Rotavirus di Kedah, Subramaniam berkata, buat masa ini pihaknya masih belum memutuskan untuk menutup tempat riadah yang dikenal pasti tersebar virus tersebut.