Mohd. Yusof Abdul Rahman
Mohd. Yusof Abdul Rahman

Walaupun sekitar tahun 2015 isu pelaksanaan caj perkhidmatan pernah dipersoalkan kepada kerajaan dan agensi-agensi berkenaan namun desakan yang dikemukakan oleh pihak Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) tidak diambil kira.

Timbalan Presiden FOMCA, Mohd. Yusof Abdul Rahman berkata, ramai pengguna menyuarakan rasa tidak puas hati kerana caj perkhidmatan yang dikenakan adalah berbentuk tips atau upah lebihan kepada pelayan di restoran-restoran rantaian francise dan hotel atas beberapa alasan yang tidak lagi relevan.

“Walaupun sekarang ini kadar cukai barang dan perkhidmatan (GST) adalah pada kadar sifar tetapi caj perkhidmatan tetap dibenarkan oleh kerajaan baharu.

“Memang pada tahun 2015 telah timbul isu caj perkhidmatan yang turut ditanggung oleh pelanggan tetapi memang tidak ada pihak berkuasa yang menentukan sama ada caj perkhidmatan ini dibawah bidang kuasa siapa.

“Apabila diajukan kepada pihak Kementerian Kewangan, jawapan diterima adalah bukan dibawah kementerian berkenaan dan apabila diajukan pula kepada pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), pun mereka menolak,” katanya ketika dihubungi wartawan Utusan Online di sini, hari ini.

Beliau berkata, alasan yang diberikan oleh pihak restoran dan hotel tidak lagi boleh diguna pakai hari ini kerana restoran rantaian francise seperti Paparich tidak sepatutnya mengenakan caj perkhimatan sehingga 10 peratus kerana pelayan tidak memberikan layanan dari mula sehingga akhir iaitu mengambil pesanan makanan daripada pelanggan di meja pelanggan dan membawa makanan yang dipesan ke meja pelanggan.

“Memang tidak adil bagi pelanggan yang makan kerana pelanggan membuat pesanan melalui kertas menu yang disediakan dan ditulis sendiri oleh pelanggan. Ini sudah kira layan diri dan bukan layanan sepenuhnya daripada pelayan.

“Manakala pihak hotel pula tidak lagi boleh menggunakan alasan mengenakan caj perkhidmatan kerana upah atau gaji asas pelayan hotel rendah. Kita sekarang ini sudah ada upah atau gaji minima yang bukan lagi pada tahap gaji asas atau pokok sebanyak RM300,” ujarnya.

Katanya lagi, pihak pengusaha dan pengurusan hotel sepatutnya sudah menaikkan taraf gaji minima pekerja atau pelayan hotel dan mereka sudah tidak boleh lagi bergantung kepada caj perkhidmatan untuk dijadikan sebagai tips kepada pekerja-pekerja hotel.

Mohd. Yusof turut menambah, perbincangan dengan pihak KPDNKK pernah diadakan untuk meminimakan kadar caj perkhidmatan yang selama ini dikenakan antara lima ke 10 peratus tetapi tidak membuahkan sebarang hasil.

“Oleh yang demikian, pihak FOMCA menggesa kerajaan baharu mengkaji semula caj perkhidmatan yang membebankan pengguna.

“KIta mahu kerajaan baharu ini lebih mesra pengguna dan mendengar suara pengguna,” katanya. - UTUSAN ONLINE