Menurut Pusat Governans, Integriti dan Anti Rasuah Nasional (GIACC), Jabatan Perdana Menteri, ketika ini Mahkamah Khas Rasuah telah wujud di peringkat Mahkamah Sesyen.

Jelasnya, Mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Antirasuah (JKKMAR) kali ke-7 yang diadakan semalam telah membincangkan beberapa perkara antaranya termasuk cadangan berkaitan ‘Penambahbaikan Mahkamah Khas Rasuah’.

Tambahnya, cadangan penambahbaikan yang dikemukakan adalah bertujuan mempercepatkan tunggakan kes di mahkamah dan beberapa cadangan telah dipersetujui di dalam mesyuarat tersebut termasuk penambahan Mahkamah Sesyen Khas Rasuah yang sedia ada.

Mesyuarat juga jelasnya, bersetuju supaya penubuhan Mahkamah Khas Rasuah diperingkat yang lebih tinggi dikaji memandangkan ia turut membabitkan penstrukturan semula.

“Kajian cadangan penubuhan Mahkamah Khas Rasuah yang dimaksudkan adalah kajian berkaitan keperluan untuk mewujudkan Mahkamah Tinggi Khas (Rasuah) dan Mahkamah Rayuan Khas (Rasuah) bagi tujuan mempercepatkan perbicaraan kes-kes rasuah,” jelasnya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Semalam, Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad selepas mempengerusikan mesyuarat itu berkata, kerajaan akan menubuhkan mahkamah khas rasuah bagi membolehkan kes-kes rasuah dikendalikan dengan lebih cepat.

Menurut Dr. Mahathir, penubuhan mahkamah itu akan dilaksanakan secepat mungkin. - UTUSAN ONLINE