Menteri Kesihatan, Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, majlis yang akan dianggotai oleh lima hingga tujuh pakar pelbagai bidang itu akan berperanan sebagai badan penasihat, penyelesai masalah dan pemikir dalam melonjakkan penyampaian sektor penjagaan kesihatan.

“Dalam minggu depan kita akan menghantar nota Kabinet berhubung Majlis Penasihat Kesihatan.

“Anggotanya terdiri daripada lima hingga tujuh orang dari pelbagai bidang tidak semestinya perubatan tetapi ada juga ahli ekonomi,” katanya kepada pemberita selepas meyempurnakan Majlis Perjumpaan Menteri Kesihatan Dengan Warga Kementerian 2018 di sini hari ini.

Dalam pada itu, Dzulkefly berkata, beliau mahu kementerian tersebut proaktif dalam menangani permasalahan-permasalah di akar umbi yang mendesak sejak sekian lama dihadapi rakyat terutama melibatan operasi hospital.

Beliau menjelaskan, antara masalah yang digariskan pihaknya adalah;

* Tempoh menunggu yang lama untuk bertemu dengan dotor terutama pakar

* Tempoh menunggu siasatan lama

* Bekalan ubat-ubatan terganggu

* Kesesakan di kemudahan-kemudahan kesihatan

* Peningkatan kos penjagaan kesihatan terutama di sektor swasta.

Sementara itu, beliau berkata, Klinik 1Malaysia seluruh negara akan dijenamakan semula dengan nama Klinik Rakyat yang akan menempatkan lebih banyak doktor.

Ditanya berhubung peruntukan kerajaan bagi kesihatan, beliau optimis peruntukan untuk tujuan berkenaan akan dipertingkat dari semasa ke semasa selaras dengan kemampuan kerajaan serta tuntutan semasa. - UTUSAN ONLINE