Menterinya, Dr. Xavier Jayakumar berkata, kenaikan tarif air perlu dilaksanakan bagi memastikan pengguna terus mendapat bekalan air berkualiti pada masa depan.

Kata beliau, kerajaan tidak mampu lagi menampung kos penyelenggaraan air negara ini menggunakan kadar bayaran yang ditetapkan kira-kira 25 tahun.

“Saya melihat banyak kerajaan negeri bersetuju namun ada satu dua negeri yang belum setuju lagi. Kita akan bincang dengan mereka mengenai isu tarif air.

“Kami bukan mahu bebankan mana-mana pihak. Kita perlu faham kalau nak air bersih, kita harus berbelanja untuk mendapatkannya.

“Untuk 20 tahun sebelum ini tiada perbelanjaan yang dilakukan kerana ada percanggahan mengenai sistem air antara kerajaan negeri, kerajaan Persekutuan dan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN),” katanya dalam sidang akhbar Majlis Pemeteraian Memorandum Persefahaman (MOU) antara Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) dengan Indah Water Konsortium (IWK) di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Pengarah FRIM, Datuk Dr. Abd Latif Mohmod dan Ketua Pegawai Eksekutif IWK, Faizal Othman. - UTUSAN ONLINE