Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu berkata, Malaysia membeli banyak produk daripada EU termasuk pesawat Airbus dari Perancis, sedangkan negara berkenaan ibarat tidak tahu 'membalas budi' apabila berbuat demikian terhadap hasil negara itu.

Katanya, berdasarkan maklumat, Perancis bertindak me­nge­tuai kempen memburuk-bu­rukkan minyak sawit negara se­hingga telah menjejaskan imej produk berkenaan di dunia.

“Justeru pada masa ini, menteri yang terlibat (Kementerian In­dustri Utama) telah be­rusaha keras untuk memulihkan imej mi­nyak sawit di EU,” kata­nya dalam sidang akh­bar semasa majlis minum petang bersama media sempena Pame­ran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi (LIMA '19) di Resort World di sini, hari ini.

Semalam, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, Malaysia akan bertindak balas termasuk kemungkinan membeli pesawat pejuang dari China sekiranya EU terus mengenakan sekatan terhadap minyak kelapa sawit dari negara ini.

Tegas Perdana Menteri, sekatan berkenaan semata-mata bagi menjaga kekayaan ekonomi EU dan dilakukan secara tidak adil.

Dalam pada itu, Mohamad menyifatkan pergolakan dalaman Pakatan Harapan (PH) sehingga dikatakan mendorong peletakan jawatan Nurul Izzah Anwar sebagai anggota Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) pada Sabtu lalu, adalah seperti mana perhubu­ngan antara suami isteri.

“Suami isteri pun kadang-kadang ada masalah,” katanya sambil memberitahu, parti-parti dalam kerajaan walau bagaima­napun masih berhubungan de­ngan setiap keputusan diputuskan secara bersama.

Beliau diminta mengulas isu peletakan jawatan Nurul Izzah sebagai anggota PAC kerana bertegas bahawa pengerusi jawatankuasa itu perlu dipegang oleh wakil pembangkang.