Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin menegaskan, pihaknya telah mengenal pasti lokasi 100,000 unit kediaman mampu milik yang akan dibina pada tahun ini.

"Dalam pertemuan bersama Majlis Perumahan Mampu Milik Negara yang dipengerusikan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad, kami telah kenal pasti lokasi bagi pembinaan 100,000 unit kediaman bagi tahun 2019. Malah, negeri dan kawasan juga sudah ada, jadi ia adalah realistik.

"Saya tak tahu lah Gerakan, parti itu pernah menjadi kerajaan selama 60 tahun dan jika dalam tempoh itu mereka gagal (menyediakan bilangan kediaman itu), mereka tidak boleh kata kami tidak mampu melakukannya.

"Jika mereka gagal melaksanakannya, tidak semestinya kami juga akan gagal, " katanya kepada pemberita ketika ditemui pada Majlis Perasmian Penutup Forum Bandar Malaysia 2019 di sini hari ini.

Semalam, Presiden Gerakan, Datuk Dr. Dominic Lau menyifatkan pengumuman kerajaan akan membina sejuta unit rumah mampu milik dan rumah kos rendah dalam tempoh 10 tahun sebagai satu lagi pembohongan dan janji populis Pakatan Harapan (PH) untuk kekal berkuasa.

Sambil menyuarakan kebimbangan terhadap jaminan tersebut, Dominic berkata, pembinaan sejuta unit rumah mampu milik dilihat sebagai tawaran yang terlalu baik untuk menjadi kenyataan kerana jumlah itu pernah dipertikaikan oleh pemimpin PH itu sendiri ketika menjadi pembangkang sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu. - UTUSAN ONLINE